Tuesday 12 June 2012

PERANAN GEREJA DI DALAM PERTUMBUHAN EKONOMI, IMAN DAN KEWANGAN JEMAAH

Ada pendapat yang mengatakan bahawa gereja tidak menyelamatkan sesiapa melainkan Tuhan Yesus sahaja.  Ini adalah satu pendapat yang tepat sekali.  Walau bagaimanapun, apabila kita mengkaji secara mendalam tentang pendapat ini, ia beranggapan bahawa gereja tidak mempunyai peranan di dalam penyelamatan manusia.  Di dalam 1 Korintus 1:21 dikatakan bahawa melalui kebodohan pemberitaan firman-Nya, Allah berkenan untuk menyelamatkan manusia.  Jika gereja tidak mempunyai peranan dalam penyelamatan manusia, kita tidak memerlukan gereja serta para pelayannya sebab kita tidak perlu mengisytiharkan Berita Baik, tidak perlu ada visi dan misi.  Gereja yang tidak menyedari akan peranannya di dalam penyelamatan manusia adalah gereja yang tidak menyelamat.  Perkara yang menentukan sama ada sesebuah gereja itu telah melaksanakan peranannya di dalam penyelamatan manusia atau tidak adalah pengajarannya.  Apakah pengajaran sesebuah Gereja itu mampu menghasilkan pertaubatan di kalangan anggotanya?[1].

Di dalam hal ini, gereja bukan sahaja berperanan di dalam penyelamatan manusia tetapi juga untuk menaikkan taraf ekonomi para anggota gereja sebab tanpa peningkatan di dalam bidang ekonomi, mereka mudah dipengaruhi oleh kemewahan hidup yang ditawarkan oleh dunia ini lalu tidak hairanlah apabila ada anggota gereja yang sanggup terjebak di dalam perbuatan rasuah atau dengan mudah sahaja menyangkal Tuhan Yesus kerana mengejar kemewahan yang akhirnya hanya membawa mereka ke dalam kancah kehancuran.

A)     Peranan Gembala Dalam Pertumbuhan Ekonomi Jemaah

Ketika para misionari memulakan pelayanan mereka di kalangan suku Rungus, mereka mendapati bahawa salah satu keperluan yang sangat mendesak di kalangan suku itu ialah peningkatan taraf ekonomi.  Maka mereka telah membuka sebuah Sekolah Pertanian (Farm School) untuk melatih para pemuda di dalam bidang pertanian, pertukangan tangan dan pemeliharan ternakan dan sebuah Sekolah Sains Rumahtangga untuk melatih kaum wanita dalam pengurusan rumahtangga[2].  Seminari Teologi Sabah juga menawarkan mata pelajaran “Pertanian” sebab pelajaran ini merupakan salah satu pelajaran yang sangat membantu di dalam pelayanan.  Seorang gembala bukan sahaja diharapkan untuk membimbing para anggota Jemaah bertumbuh di dalam kehidupan rohani mereka tetapi juga untuk mengajar mereka bagaimana meningkatkan taraf ekonomi.  Di dalam Injil Yohanes 10:10b ada tertulis, “Tetapi Aku datang supaya manusia mendapat hidup, iaitu hidup yang kelimpahan’.  Gereja mengharapkan sumbangan kewangan daripada anggotanya bagi membiayai segala perbelanjaannya.  Walau bagaimanapun, bila pendapatan para anggota Jemaah tidak cukup untuk menampung keperluan mereka sendiri, apakah yang mereka boleh sumbangkan kepada gereja?  Sebab itu, gembala harus memainkan peranannya sebagai pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi anggota Jemaah.

Gembala berperanan untuk mengajar para anggota Jemah mengenai kebenaran tentang hidup yang berkelimpahan berdasarkan firman Allah.  Sesiapa yang ingin mencapai kemakmuran ekonomi dengan berpegang kepada undang-undang kemakmuran sahaja tanpa mengikis sikap-sikap yang mengundang kemiskinan, ia hanya menipu dirinya sendiri sebab cara itu tidak akan berhasil.  Berikut ini adalah beberapa dasar untuk mengatasi kemiskinan[3]:

i)        Mengikis Keinginan untuk Menjadi Kaya dengan Apa Cara Sekalipun

Di kalangan orang Kristian, ramai yang masih terlibat di dalam perjudian seperti empat ekor, jackpot, lumba kuda dan pelaburan dalam “Skim Cepat Kaya”.  Anggota Jemaah perlu dibimbing di dalam usaha mereka untuk meningkatkan taraf ekonomi agar mereka melakukan apa yang benar di hadapan Tuhan, walaupun ia tidak membawa keuntungan yang berlipat ganda tetapi sekurang-kurangnya ia tidaklah mengundang kemiskinan.  Perjudian seperti empat ekor dan jackpot adalah cara mencari kekayaan yang hanya mengundang kemiskinan sebab ia semata-mata bergantung kepada nasib sahaja dan bukan atas usaha seseorang.  Lagi pun keuntungan yang kita peroleh itu adalah kerugian bagi orang lain dan ini sama sahaja kita mencuri.  Sudah sekian ramai orang yang telah menjadi papa kedana disebabkan oleh judi.  Alkitab berkata ‘Orang yang kikir ingin cepat kaya.  Dia tidak sedar bahawa kemiskinan segera menimpa dia’ (Ams 28:22).

ii)      Mengikis Sikap Kedekut

Amsal 11:24 berkata ‘Ada orang yang memberi tetapi masih bertambah kaya.  Ada orang yang kedekut tetapi bertambah miskin pula’.  Berdasarkan ayat Alkitab ini, kita tahu bahawa penghapusan sikap kedekut merupakan salah satu cara untuk meningkatkan ekonomi sebab apabila kita lebih rela memberi, firman Allah berkata bahawa kekayaan kita bukan berkurangan melainkan ia akan bertambah.  Firman Tuhan juga berkata bahawa kita harus memberi dengan rela hati kerana Allah mengasihi orang yang memberi dengan sukacita (2 Kor 9:7).

Kemandirian gereja di dalam soal kewangan akan lebih senang dicapai apabila anggota gereja sudah menyedari bahawa semua yang mereka miliki adalah berasal daripada Allah dan harus berkongsi berkat itu dengan orang lain (Luk 5:7).  Anggota gereja walaupun ada kemampuan kewangan tetapi tidak begitu murah hati di dalam soal memberi kewangan kepada gereja selagi mereka belum menyedari bahawa semua yang mereka miliki itu adalah pemberian daripada Allah yang mereka harus mengucap syukur melalui persembahan mereka kepada gereja.  Ini semua adalah tanggungjawab para gembala untuk menyedarkan para anggota Jemaah melalui firman Allah yang menimbul iman mereka (Roma 10:17).

iii)            Mengikis Sikap Malas

Ketika Tuhan Yesus memanggil kita untuk menjadi pengikut-Nya, Dia tidak pernah berjanji bahawa kita tidak perlu lagi bekerja keras untuk mendapatkan makanan bahkan rasul Paulus berkata bahawa orang yang malas bekerja janganlah ia makan (2 Tes 3:10).  Anggota Jemaah perlu diberi dorongan untuk mengubah sikap malas sebab firman Tuhan mengatakan bahawa kemalasan akan mengundang kemiskinan.  Mereka yang tidak sanggup bekerja keras tetapi cuba memiliki kemakmuran dengan menuntut janji-janji Allah akan mati kelaparan (Ams 6:9-11; 20:13; 24:30-34).

Burung-burung di udara tidak pernah menabur, menuai dan mengumpul harta di dalam lumbung tetapi tidak seekor pun yang jatuh mati kerana kelaparan (Mat. 6:26).  Bapa di syurga telah menyediakan makanan yang berlimpah bagi mereka.  Walau bagaimanapun, kita tidak pernah melihat seekor burung yang bertenggek sahaja di atas dahan pokok sepanjang hari melainkan ada peribahasa yang mengatakan, ‘Burung yang bangun awal pagi, dialah yang mendapat ulat’.  Burung pun perlu bekerja keras untuk mendapatkan makanan.  Manusia yang lebih berharga daripada seekor burung juga perlu bekerja keras untuk mendapatkan makanan yang Allah Bapa kita telah sediakan kepada kita semua.

iv)       Mengikis Sikap Ingin Mengejar Nikmat dan Kemewahan Dunia

Orang yang ingin mengejar nikmat dan kemewahan dunia tidak akan menghiraukan tentang dosa asalkan dapat mencapai impiannya (Ams 28:19-20).  Orang seperti ini sanggup menipu dan melakukan rasuah untuk memperoleh kekayaan walaupun ia tahu bahawa hal seperti itu hanya membawanya ke dalam kebinasaan.  Kekayaan yang diperoleh dengan cara sedemikian tidak akan membawa kebahagiaan yang kekal sebab jika ia sanggup menipu untuk mendapatkan kekayaan ia pun sanggup menggunakan kekayaan itu bagi perkara-perkara yang tidak memuliakan Tuhan seperti kemabukan, pesta pora dan pemuasan hawa nafsu.

Anggota gereja perlu mencari kemewahan hidup dengan cara yang berkenan di hadapan Tuhan.  Dengan cara ini, ia juga dapat menatalayan berkat Allah dengan baik demi kemuliaan Tuhan (Luk 19:16-17).

v)         Meninggalkan kehidupan yang berdosa

Amsal 28:13 berkata, “Sesiapa menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya dalam hidupnya.  Sesiapa mengaku dan meninggalkan dosanya akan dikasihani Allah”. Kita tahu bahawa ketika dosa masuk ke dalam dunia melalui Adam, kemiskinan juga turut memasuki dunia.  Allah berfirman, “maka terkutuklah tanah kerana engkau; dengan susah payah engkau akan mencari rezekimu..... dengan berpeluh engkau akan mencari makananmu sampai engkau kembali lagi menjadi tanah....” (Kej 3:17b-19),  Setelah kita percaya kepada Tuhan Yesus, Adam Kedua yang menghapuskan segala kutuk, kita tidak lagi dapat menyalahkan dosa sebagai penyebab kemiskinan.  Walau bagaimanapun bila kita mengkaji secara terperinci tentang sebahagian besar penyebab kemiskinan di kalangan anggota gereja, dosa masih merupakan punca utamanya.

Mereka yang belum bertaubat pastinya masih menyalahgunakan berkat Allah.  Seseorang yang sudah bertaubat tidak akan memboroskan wang ringgitnya untuk membeli minuman keras, rokok dan sebagainya.

Sekali lagi peranan gembala sangat diperlukan untuk membantu para anggota Jemaah untuk keluar daripada perhambaan dosa yang menyebabkan mereka tetapi dibelenggu oleh kemiskinan.

vi)  Menanam Sikap Mahu Belajar

Seseorang yang menolak pendidikan sudah pasti tidak boleh diajar dan tidak mahu belajar dari kegagalan atau kejayaan orang lain.  Orang seperti ini akan mengulangi kegagalan orang lain bagi kehancuran dirinya sendiri (Ams 13:18).

Para anggota gereja perlu didorong agar mereka mempunyai sikap yang terbuka untuk menerima pendidikan dan rela belajar daripada orang lain yang berjaya dalam hidup demi memperbaiki taraf ekonomi merekla sendiri.  Orang-orang tempatan[4] sudah dikondisikan sejak dahulu kala lagi bahawa binatang ternakan yang baik itu adalah milik orang Cina sedangkan yang tidak baik itu adalah milik mereka.  Persepsi ini harus diubah atau dikikis agar kita mampu mencapai kemajuan hidup.

Apabila dasar-dasar di atas dapat diterapkan ke dalam kehidupan para anggota Jemaah dengan sesungguhnya, ia akan menghasilkan perubahan sikap kepada sikap yang berkenan di hadapan Tuhan.  Inilah peranan para gembala di dalam kita berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi anggota Jemaah terutama mereka yang melayani di kawasan pertanian.  Mereka perlu mengajar anggota Jemaah mengenai firman Allah yang mampu mengubah sikap.

Kemandirian gereja bukan soal sistem pentadbiran atau pengurusan kewangan yang canggih melainkan pembaharuan hati di kalangan kepimpinan dan anggota Jemaah.  Apabila kehidupan anggota sudah diperbaharui, mereka lebih rela menyumbang kewangan kepada gereja.  Mereka juga sanggup berusaha sesuai dengan kebenaran firman Allah maka mereka boleh memperolehi pendapatan atau wang yang boleh disumbang kepada gereja.  Mereka pasti menyedari akan kasih Allah dalam hidup mereka, maka lebih bermurah hati untuk membantu gereja dalam soal kewangan.

B)     Peranan Gembala Dalam Pertumbuhan Iman Jemaah

Pelayanan rasul Paulus merupakan suatu pelayanan yang didorong oleh kuasa kebangkitan yang ada pada dirinya sehingga ia rela berkorban dan rela bersama-sama dengan Kristus supaya kebangkitan Kristus semakin dinikmati oleh banyak orang.  Paulus berkata bahawa dia telah menerima gerakan kuasa kematian di dalam dirinya supaya gerakan kuasa kebangkitan itu ada pada kita (2 Kor. 4:12).  Menurut Stephen Tong, apa yang dikatakan oleh Paulus itu adalah erti pelayanan yang sesungguhnya[5].  Seorang pelayan sejati rela berkorban demi kehidupan anggota Jemaah yang dilayaninya seperti kata Tuhan Yesus bahawa gembala yang baik (Yoh 10:11) rela berkorban bagi kawanan dombanya manakala gembala upahan akan meninggalkan kawanan dombanya apabila ia berhadapan dengan bahaya.

Tugas utama seorang gembala adalah memberitakan Injil.  Menurut Dr Peter C. Wagner, pemberitaan Injil adalah alat utama bagi pertumbuhan[6] iman anggota Jemaah.  Dengan itu, sangat penting bagi seorang gembala menyedari akan panggilannya sebagai pelayan dan tanggungjawab yang datang bersama-sama dengan panggilan itu.

i)        Panggilan Sebagai Pelayan

Seorang gembala bukan sahaja penting untuk memiliki hidup baru (lahir baru) tetapi juga harus jelas tentang panggilan Tuhan di dalam hidupnya sebab memiliki lahir baru sahaja tidak cukup untuk menjadi seorang pelayan yang berhati pelayan.  Ia akan menghadapi masalah di dalam menjalankan tugas pelayannnya jika tidak ada panggilan yang jelas sebab ia tidak akan terbeban dengan tugasnya.  Martin Luther pernah dilaporkan sebagai berkata, “Jika seseorang tidak jelas tentang panggilan Tuhan baginya untuk melayani, adalah lebih baik ia melarikan diri dari tugas yang kudus itu sebab tugas sebagai gembala tidak boleh dilakukan dengan sembarangan sahaja[7].  Ungkapan ini menunjukkan bahawa tugas seorang pelayan tidak boleh dipandang remeh.

Menggembalakan domba Allah bukan kerana minat, mengejar pengaruh atau mengejar kemewahan atau glamour melainkan untuk memimpin anggota Jemaah berdamai semula dengan Allah (Rm 5:11) dan tugas ini tidak boleh dilakukan dengan sambil lewa sahaja.  Tugas ini menuntut kejujuran dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.

Allah tidak menjadi kemampuan seseorang yang hebat sebagai ukuran apabila Ia memanggil seseorang menjadi pelayan-Nya melainkan keserupaannya dengan Tuhan Yesus serta kesediaannya untuk dipakai oleh Tuhan.  Pelayanannya yang pertama ialah meninggikan Yesus di dalam hidupnya dan yang kedua ialah mengasihi Yesus lebih daripada pelayanannya.  Ia harus mengasihi Dia dengan segenap hati, jiwa, akal budi dan kekuatannya (Mrk 12:30).

Yesus adalah contoh yang terbaik sebagai hamba yang melayani.  Di dalam Injil Yohanes 13, kita dapat membaca bahawa Yesus telah membasuh kaki murid-murid-Nya.  Dia telah melakukannya sebagai contoh kehidupan pelayan yang benar-benar terpanggil untuk menjadi pelayan.

ii)            Panggilan Sebagai Pengkhutbah

Gembala sebagai pengkhutbah berperanan untuk menyampaikan apa yang Tuhan ingin sampaikan kepada Jemaah-Nya atau sebagai penyambung lidah Allah (Yer 15:19).  Sebagai pengkhutbah dia harus mengerti kehendak Tuhan dan menyelami visi Tuhan bagi Jemaah-Nya.  Ini boleh dicapai apabila seorang gembala itu memiliki hati yang sudah diperbaharui[8].  Seorang gembala harus peka terhadap situasi dan keperluan anggota Jemaahnya yang sebenar.  Ia juga berperanan untuk menyatakan kebenaran atau hukum Tuhan di tengah-tengah Jemaah sebab itu adalah sangat penting seorang gembala berani menyatakan kebenaran dan keadilan Tuhan agar anggota Jemaah disedarkan akan sesuatu hal.  Dia akan mampu melakukannya apabila ia sendiri sudah memiliki kebenaran tersebut.

Seorang pengkhutbah tidak seharusnya menggunakan kesempatan berkhutbah untuk menembak anggota Jemaah.  Perbuatan seperti itu menyebabkan sesebuah khutbah itu menyeleweng daripada kebenaran firman Allah sebab dia bukan menyampaikan firman Allah melainkan hanya ingin melafazkan perasaan geramnya.  Panggilannya sebagai pengkhutbah adalah untuk membangun, mendorong, menggalak dan menghibur anggota Jemaah agar semangat mereka lebih dikuatkan lagi untuk melibatkan diri di dalam kegiatan gereja dan menyumbang ide-ide yang mampu membangunkan gereja, membangunkan iman Jemaah dan membangkitkan semangat kerjasama di kalangan anggota Jemaah.

iii)    Panggilan sebagai Pengajar

Di dalam 2 Timotius 2:15, rasul Paulus menegaskan kepada Timotius bahawa peranan seorang gembala adalah untuk mengajar tentang kebenaran firman Allah tanpa rasa malu.  Dia harus tetap setia di dalam tugasnya walau apapun keadaannya.  Tugas seorang gembala adalah menggembalakan kawanan domba Allah melalui pengajaran firman Allah.  Seorang gembala bertanggungjawab untuk mengajar anggota Jemaah bagi membantu mereka mengetahui kebenaran (Yoh 8:31-32) sebab kebenaran itulah yang akan membebaskan mereka untuk menyembah Allah di dalam roh dan kebenaran.

Masalah di kalangan anggota gereja yang masih tidak mampu membebaskan diri dari ikatan kebiasaan-kebiasaan dunia mungkin disebabkan mereka tidak pernah diajar tentang sesuatu kebenaran.  Peranan gembala adalah mengajar anggota Jemaah tentang seluruh kebenaran firman Allah tanpa memilki sikap yang enggan menyatakan sesuatu yang dirasakan menyinggung perasaan para anggota Jemaah walau pun itu adalah kebenaran firman Allah atau yang lebih buruk lagi kerana kehidupannya sendiri akan terkena tempias dengan kebenaran itu.

iv)    Panggilan Sebagai Pemimpin

Gembala atau pastor/pendeta adalah gelaran bagi seorang yang memenuhi persyaratan sebagai pemimpin gereja sebab gembala juga adalah pemimpin.  Seorang pemimpin perlu mengambil satu pendekatan yang bersepadu untuk memimpin Jemaah.  Di dalam usaha untuk memimpin Jemaah, seorang gembala tidak seharusnya terlalu menekankan tentang kuasa yang dimilikinya sebagai pemimpin melainkan peranan kepemimpinannya itu hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk memimpin Jemaah ke arah jalan Tuhan[9].   Cara pendekatan dalam kepemimpinan harus bijaksana (1 Tim 5:1-5), setia dan jujur, tidak ada pilih kasih melainkan semua anggota Jemaah dilayani sama rata.

Seorang gembala harus ada strategi yang holistik dalam membangunkan pelayanan penggembalaannya agar senang baginya untuk mengevaluasikan keberkesanan pelayanannya.  Gembala sebagai pemimpin juga berperanan sebagai pentadbir gereja.  Untuk membangun sebuah Jemaah, seorang gembala harus memiliki perancangan yang terperinci dan sistematik demi kelancaran perjalanan pelayanan dan pentadbiran gereja.

Seorang pemimpin seharusnya berjalan mendahului anggota Jemaah di dalam sebarang kegiatan Jemaah supaya anggota Jemaah didorong untuk sama-sama ikutserta.

Seorang pemimpin harus taat sepenuhnya kepada Tuhan dan harus memiliki kerendahan hati untuk memimpin sesama manusia.  Yesus sendiri telah merendahkan diri sehingga Ia mati di atas kayu salib sebagai teladan tentang hati yang paling nyata taat kepada Allah sampai mati (Flp 2:2-11).

v)      Panggilan sebagai Pembimbing

Seorang gembala mempunyai peranan yang sangat penting sebagai hamba Allah kerana ia bukan sahaja diharapkan untuk membimbing anggota Jemaah bertumbuh di dalam kehidupan rohani mereka tetapi ia juga diharapkan untuk membimbing mereka keluar dari masalah yang mungkin ada sangkut paut dengan masalah psikologi[10].  Ini telah menyebabkan seorang gembala menjadi tumpuan bagi anggota Jemaah apabila mereka mempunyai masalah.  Senario ini terjadi sebab seorang gembala adalah yang paling dekat dengan anggota Jemaah sebagai gembala yang menggembalakan mereka.

Oleh hal yang demikian, seorang gembala perlu melengkapkan dirinya dengan pengetahuan dunia pembimbingan Kristian supaya ia dapat memainkan peranannya yang serba menyeluruh dengan lebih berkesan sama ada dalam bidang pelayanan kerohanian mahupun dalam bidang pelayanan pembimbingan. Peranan pembimbingan Kristian di dalam sesebuah Jemaah kini semakin penting kerana keperluannya semakin nyata sebab manusia juga semakin maju.  Kemajuan yang dikecapi itu datang dengan berbagai-bagai masalah yang merumitkan lagi tugas seorang gembala sidang.

vi)    Panggilan Sebagai Imam

Seorang gembala sidang bukan sahaja berperanan sebagai nabi tetapi juga berperanan sebagai imam yang akan mendamaikan manusia dengan Allah.  Ia berperanan untuk membawa orang-orang yang berdosa untuk kembali kepada jalan Tuhan (1 Ptr 2:9 & Ibr 7:22-25).  Yesus sebagai Imam Besar yang hidup akan menjadi pengantara mereka.  Seorang gembala sidang yang sudah dilahirkan baru akan menjadi alat pendamai di antara manusia dan Allah.  Matius 5:9 berkata, “Berbahagialah orang yang membawa damai kerana mereka akan disebut anak-anak Allah”.

Seorang gembala berperanan sebagai pendoa syafaat.  Dalam keluaran 32:30-32, Musa berdoa kepada Tuhan untuk keampunan dosa umat Israel.  Musa telah menjadi alat pendamai di antara umat Israel dengan Allah.  Di dalam 2 Timotius 2:24-26,  seorang gembala berperanan sebagai pendamai, mendamaikan orang dengan Allah agar mereka akan bertaubat, menasihati orang agar tidak bertengkar melainkan berkelakuan lemah lembut.  Yesus juga berperanan sebagai pendamai di antara Allah dan manusia.

Sekiranya apa yang disarankan di atas dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh para pelayan Gereja, ada kemungkinan besar bahawa iman para anggota Jemaah akan mencapai kedewasaan sebagaimana yang kita harap-harapkan.

C)     Peranan Gembala Dalam Peningkatan Kewangan Jemaah

Gembala Sidang dan barisan kepimpinan sesebuah Jemaah adalah secara langsung bertanggungjawab terhadap peningkatan kewangan Jemaah.  Dalam pada itu, tanggungjawab yang lebih berat terletak di bahu Gembala Sidang.  Kualiti pelayanan seorang Pendeta/Pastor akan menentukan kualiti kerohanian di kalangan anggota Jemaah.  Sebagaimana selalu kita dengar bahawa iman timbul daripada pendengaran dan pendengaran akan firman Kristus (Rm10:17).  Ayat ini meletakkan tanggungjawab itu hampir seratus peratus di atas bahu seorang Gembala Sidang sebagai pelayan firman Allah.  Ini adalah tanggungjawab yang tidak boleh dilakukan sambil lewa sahaja.  Ketika seseorang sudah mengambil keputusan untuk menjadi pelayan penuh masa ia sudah mengabdikan dirinya untuk menjadi hamba Tuhan.  Seorang Gembala harus berusaha untuk meningkatkan pelayanannya agar pelayanannya tetap relevan.

i)        Pengawalan Perbelanjaan Jemaah

Kepimpinan Jemaah terutamanya Gembala dan Pengerusi Jemaah adalah bertanggungjawab untuk mengawal perbelanjaan Jemaah.  Isu kewangan merupakan isu yang sangat sensitif dan apabila kewangan Jemaah tidak diurus dengan baik ia akan menyebabkan sesebuah Jemaah itu tidak mampu menunaikan tanggungjawabnya dari segi sumbangan kewangan kepada Pusat atau pun kepada Parokhi:

a)      Masalah Pengurusan Kewangan
Pengurusan kewangan yang tidak teratur akan menimbulkan banyak pertanyaan di kalangan anggota Jemaah dan pertanyaan-pertanyaan yang tidak terjawab itu lama kelamaan akan menjadi penghalang bagi anggota Jemaah untuk lebih bermurah hati di dalam menyumbang kewangan kepada Jemaah.  Mereka akan hilang keyakinan terhadap barisan kepimpinan Jemaah yang diterajui oleh Gembala Sidang.

Gembala Sidang sebagai yang bertanggungjawab terhadap Jemaah seharusnya memainkan peranan aktif dalam pengurusan kewangan apabila Majlis Gereja gagal melakukan tanggungjawab mereka terutamanya Pengerusi dan Bendahari dengan telus dan saksama. 

Gembala Sidang tidak mampu melepaskan tanggungjawab pengurusan kewangan seratus peratus kepada Bendahari sebab Bendahari bukan pekerja penuh masa dan tidak bergaji.  Walau demikian, ini tidak boleh juga dijadikan alasan untuk tidak menjalankan tugasnya dengan baik lagi pun tugas seorang Bendahari Jemaah adalah ringan sahaja.  Jika setiap minggu selepas Ibadah Hari Minggu ia mengemaskinikan catatan kewangannya, ia mungkin hanya memakan masa tidak sampai satu jam setiap minggu jadi tidak timbul persoalan tidak ada masa.  Justeru, kegagalan berbuat demikian menyebabkan laporan kewangan tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan.

Seorang Bendahari juga harus rela untuk belajar meningkatkan taraf laporan kewangannya.  Ada kalanya kegagalan dalam pengurusan kewangan adalah disebabkan seseorang itu tidak peduli dengan tanggungjawabnya.  Apabila ada bengkel kewangan diadakan, ada Bendahari Jemaah yang tidak pernah menghadirinya.  Tidak apa juga kalau memang ia tidak ada masalah dengan penyediaan laporan kewangan yang boleh diterimapakai.

Dalam pada itu, tiba masanya para pelajar di seminari teologi terutamanya di Seminari Teologi Sabah mewujudkan mata pelajaran “Simpan Kira-Kira Gereja” supaya setiap Pendeta/Pastor mampu mengajar barisan Majlis Gerejanya dengan cara penyimpanan Kira-Kira (book keeping) yang betul agar pengurusan kewangan adalah lebih teratur dan transparen.  Sistem penyimpanan kira-kira yang umum dapat diterimapakai ada caranya yang betul untuk menyediakannnya dan sistem itu sukar difahami oleh sesiapapun tanpa mempelajarinya secara formal.

Seorang Gembala Sidang harus memantau semua perkara berhubung dengan Pengurusan dan pentadbiran sesebuah Jemaah.  Namun tidak dapat dinafikan bahawa ada Gembala Sidang yang langsung melepaskan tangan terhadap pengerusan kewangan.  Apabila seorang Gembala Sidang ditanya tentang sumbangan Jemaahnya yang masih tertunggak, ia langsung menuding jari kepada Bendahari.  Seorang Gembala Sidang harus ingat bahawa bidang pelayanan, pentadbiran dan pengurusan kewangan Jemaah adalah tanggungjawabnya dan barisan Majlis Gereja adalah sebagai pembantunya sahaja di dalam menjalankan tugasnya.

b)         Perbelanjaan Yang Tidak Munasabah
Perbelanjaan yang tidak munasabah yang terkandung dalam laporan kewangan juga akan membuat anggota Jemaah berfikir dua kali sama ada menyumbnag dengan murah hati atau pun sekadar memenuhi persyaratan. 

Barisan kepimpinan Jemaah yang bijak mengurus kewangan akan berusaha untuk menjimatkan perbelanjaan dan selalu mencari jalan lain bagaimana untuk menjimatkan kos.  Alasan bahawa perbelanjaan tersebut mendapat kelulusan dari Mesyuarat Majlis Gereja tidak membatalkan sikap boros dalam penggunaan kewangan apabila sangat jelas bahawa sesuatu perbelanjaan itu tidak munasabah.  Apabila hal-hal seperti itu diketahui oleh anggota Jemaah ia akan menyebabkan semangat menyumbang akan menjadi lemah dan akhirnya akan menyebabkan sesebuah Jemaah mengalami kemerosotan dalam penerimaannya disebabkan pengeluaran yang terlalu tinggi dan sumbangan Jemaah juga berkurangan.

Apabila dua perkara di atas terjadi, sudah pasti kedudukan kewangan sesebuah Jemaah bukan bertambah baik tetapi akan lebih merosot lagi.  Jadi sangat penting kepimpinan Jemaah harus bijak di dalam mengurus kewangan Jemaah sebab Majlis Gereja hanya dipertanggungjawabkan untuk menatalayan kewangan Jemaah dan tidak diberi mandat untuk menggunakannya sesuka hati.

Contoh: Perbelanjaan Majlis Gereja melebihi RM100 untuk sekali mesyuarat adalah tidak munasabah atau sesuatu perayaan Gerejani itu diraikan di restaurant.  Sebarang perayaan Gerejani, kita harus berusaha untuk mengawal perbelanjaannya.  Menyediakan segala keperluan bagi sesuatu perayaan dengan cara gotong royong mungkin adalah cara yang lebih menjimatkan kos walau pun masih perlu membayarnya namun tidaklah semahal kita memesan makanan dari kedai makan.  Ia akan menjimatkan lagi jika ada anggota yang prihatin untuk menyumbang makanan

Pengawalan perbelanjaan adalah di bawah kawalan kepimpinan Jemaah.  Kepimpinan Jemaah harus berusaha untuk menjimatkan perbelanjaan.  Ada Jemaah yang merayu untuk dikurangkan sumbangan bulanan mereka ke Pusat kerana dirasakan angka itu sesuatu yang sangat membebankan namun kadang kala mereka terlupa untuk mengevaluasi apa yang sedang berlaku di dalam Jemaah mereka.  Dua perkara yang disebut di atas itu perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh Barisan kepimpinan Jemaah terutamanya Gembala Sidang.

Kadang kala kita merasa ada sesuatu yang memang tidak kena apabila seorang Gembala Sidang asyik merayu untuk dikurangkan sumbangan bulanan Jemaahnya ke Pusat sedangkan dari segi penggajian, belum ada seorang Gembala Sidang pun yang pernah merayu agar gaji bulanannya dikurangkan.  Apa yang sering kita dengar ialah apabila gaji lambat masuk ke dalam akaun bank, sungutan demi sungutan kita dengar.  Gembala Sidang perlu sedar bahawa gajinya datangnya daripada Jemaah.  Ada Jemaah yang sebenarnya mampu tetapi disebabkan taraf pelayanan firman Allah yang kurang berkesan yang menyebabkan Jemaah belum mampu memberi dengan murah hati.

ii)      Peningkatan Penerimaan Kewangan Jemaah

Peningkatan penerimaan kewangan Jemaah adalah suatu yang di luar kawalan kepimpinan Jemaah.  Walau bagaimana pun, kita masih mampu melakukan sesuatu agar sumbangan daripada anggota Jemaah akan meningkat:

a)      Taraf Kerohanian Anggota Jemaah

Bila kita berbicara tentang kewangan Jemaah, kita tidak mampu memisahkannya daripada isu taraf kerohanian anggota Jemaah.  Anggota yang memiliki iman yang hidup sudah pasti ia sedar bahawa apa yang ia miliki adalah pemberian daripada Allah dan akan mengucap syukur terhadapnya dalam bentuk sumbangan kewangan kepada Gereja sebagai ucapan syukurnya.

Taraf kerohanian yang baik juga akan membantu barisan kepimpinan Jemaah untuk mentadbir dan mengurus Jemaah dengan baik.  Pengurusan kewangan yang baik juga adalah dihasilkan daripada kehidupan rohani yang baik.  Kita bukan hanya mengharapkan para anggota Jemaah lebih bermurah hati di dalam pemberian mereka tetapi kita juga sangat mengharapkan barisan kepimpinan Jemaah telus dan transparen di dalam pengurusan kewangan agar apa yang mereka lakukan terhadap kewangan Gereja akan mendorong para anggota Jemaah untuk lebih bermurah hati di dalam memberi dan bukan di sebaliknya.

b)         Pelayanan Firman Allah

Roma 10:17 mengatakan bahawa iman akan timbul dari pendengaran dan pendengaran oleh firman Kristus.  Jadi, bila kita berbicara tentang kewangan gereja kita tidak dapat memisahkannya dengan pelayanan firman Allah.  Menurut Pdt Wilman Boba, kewangan gereja datangnya daripada dompet para anggota Jemaah.  Persoalannya bagaimanakah Gereja boleh mendorong Jemaah untuk mengeluarkan wang mereka daripada dompet lalu masuk ke dalam kantong persembahan?  Itu hanya boleh berlaku melalui pendengaran firman Kristus yang mampu membangunkan iman mereka.

Anggota Gereja yang memiliki iman yang hidup bukan hanya lebih rela menyumbang kewangan kepada Gereja tetapi mereka juga akan berusaha dengan lebih gigih lagi sama ada mereka bekerja sendiri atau makan gaji dengan majikan, usaha yang gigih itu akan menghasil buah yang lebih baik.

Anggota yang memiliki iman yang hidup juga akan bijak di dalam penggunaan kewangannya sehingga ia tidak akan memboroskan berkat Allah dengan perkara-perkara yang tidak memuliakan Kristus seperti membeli rokok, membeli minuman keras, terlibat dalam perjudian apa lagi untuk memuaskan hawa nafsu.  Anggota yang memiliki iman yang hidup pastinya terselamat daripada perkara-perkara tersebut.  Sumbangan kewangan akan secara langsung meningkat kerana anggota yang imannya hidup akan tahu mengucap syukur dan bijak menggunakan kewangannya.

Pelayanan firman Allah perlu ditingkatkan sehingga ia mampu menimbulkan iman di kalangan pendengar.  Pengertian khutbah pada umumnya adalah menyampaikan firman Allah dalam istilah-istilah yang mudah difahami oleh mereka yang mendengar dan dapat dipraktikkan di dalam kehidupan mereka sehari-hari.  Khutbah harus mampu menimbulkan iman.  Pelayanan Firman Allah mempunyai sasaran jangka panjang dan jangka pendek. 

Jangka Panjang

Sasaran jangka panjang adalah untuk membangunkan iman anggota Jemaah secara sistematik dan berterusan.  Ini dapat dicapai dengan pelayanan firman Allah yang hidup dan yang mampu berakar di dalam kehidupan para pendengar.  Dengan iman yang hidup, kita percaya bahawa mereka akan sangat memahami akan keperluan gereja terutamanya dari segi kewangan lalu lebih rela menyumbang kewangan kepada gereja.

Jangka Pendek

Sasaran jangka pendek adalah lebih kepada reaksi pendengar terhadap firman Allah yang didengar di dalam sesuatu ibadah.  Khutbah yang mampu menggerakkan hati nurani para pendengar juga akan menyebabkan pada waktu itu mereka akan digerakkan untuk lebih bermurah hati dalam pemberian mereka.  Ada pendapat yang mengatakan bahawa pemberian seseorang tidak seharusnya dipengaruhi oleh masalah pengurusan kewangan atau pun kualiti khutbah.  Namun realitinya adalah di sebaliknya.  Ini adalah kisah benar.  Ketika kantong persembahan dijalankan, di sebuah Jemaah, para belia berbisik-bisik, “Berapa harga khutbah tadi:  1 sen, 5 sen, 10 sen....”  Para pendengar menilai khutbah itu dengan jumlah wang persembahan mereka.  Bagi mereka yang memiliki hidup rohani yang sudah matang, khutbah yang disampaikan pada sesuatu masa itu tidak akan mempengaruhi jumlah pemberian mereka tetapi bagi mereka yang belum teguh iman, inilah yang berlaku.  Dan tidak dapat dinafikan bahawa lebih ramai anggota Jemaah yang mempunyai pendirian seperti belia-belia tersebut daripada mereka yang sudah matang iman.

Mereka yang belum memiliki iman yang matang sangat mudah dipengaruhi oleh keadaan semasa, apa yang mereka lihat dan dengar.  Oleh itu, barisan kepimpinan Jemaah perlu memastikan bahawa kewangan Jemaah diurus dengan baik, perbelanjaan harus ditangan dengan bijaksana dan pelayanan mimbar perlu diusahakan agar khutbah-khutbah yang disampaikan setiap ibadah mampu menggerakkan hati nurani para pendengar.

c)                Kerjasama

Kerjasama di kalangan Majlis Gereja adalah resipi yang mampu meningkatkan prestasi kewangan Jemaah.  Pelayanan dan pengurusan yang baik semuanya terhasil dari permuafakatan yang erat di kalangan anggota Majlis Gereja di mana Gembala Sidang adalah sebahagian dari Majlis Gereja.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Gereja tidak seharusnya bertindak sendirian tanpa berbincang dengan Gembala Sidang di dalam pengambilan sebarang keputusan.  Apa yang sering berlaku dan sangat menyedihkan ialah ada Pengerusi Majlis Gereja yang langsung tidak mempedulikan Gembala Sidang dan yang lebih teruk lagi ada Pengerusi yang langsung tidak menghormati Gembala Sidang.  Apabila ini terjadi pastinya Jemaah akan mengalami masalah sebab anggota Jemaah juga menyedari akan keadaan itu.  Ini akan menyebabkan sumbangan kewangan akan merosot sebab dari pucuk kepimpinan Jemaah pun tidak ada kesatuan dan kerjasama lalu kita tidak dapat mengharapkan bahawa anggota Jemaah akan memberi kerjasama yang baik.

Misi utama seorang gembala adalah sebagai pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi, iman dan kewangan para anggota Jemaah.  Ini tidak dapat dikompromi dengan apa jua alasan.  Oleh yang demikian, seorang pelayan firman Allah haruslah berusaha dengan lebih gigih lagi untuk meningkatkan kemahirannya di dalam penyampaian firman Allah.  Keberhasilan dalam pelayanan hanya boleh dicapai apabila ada usaha yang keras untuk meningkatkan apa yang sedia ada.  Kelalaian dan kecuaian tidak ada tempat di dalam kamus seseorang yang ingin menghasilkan usaha yang mampu berbuah dengan banyaknya.  Jangan pernah merasa puas hati dengan apa yang kita telah capai setakat ini melainkan harus mensasarkan tahap yang lebih tinggi lagi demi kemuliaan Bapa kita di syurga.

Bab 2 berusaha untuk membentangkan cara-cara persiapan khutbah yang memenuhi persyaratan sebagai sebuah khutbah yang mampu membangunkan iman para anggota Jemaah.   Ia tidak menuntut sebagai satu-satunya cara tetapi salah satu cara yang dirasakan sangat sesuai untuk dijadikan salah satu rujukan kita dalam kita meningkatkan taraf pelayanan firman Allah.




[1] Rev. Thomas Tsen, Perbincangan dalam kuliah, Misi dan Penginjilan Semester 1, 2001.
[2] _________PCS Silver Jubilee Souvenir 1952-1977, Taman Gereja PCS, hlm 33.
[3] Peter Tan, The Law of Prosperity, Petaling Jaya: Peter Tan Evangelism hlm 2-3.
[4] Mentaliti mengagung-agungkan milik orang Cina adalah menyeluruh di kalangan bumiputera.  Ketika ayam ternakan saya dicuri, ada orang terdengar komen daripada pencuri tersebut bahawa ayam yang mereka curi itu adalah ayam Cina, gemuk-gemuk semua.
[5] Stephen Tong, Pelayan Yang Berkorban, Surabaya: Lembaga Reformed Injil Indonesia, hlm 5.
[6]. Peter Wagner, Manfaat Karunia Roh, Malang: Gandum Mash hlm 173
[7] Rev. Thomas Tsen, Nota Kuliah, Pelayanan Pastoral, Semester 2, 2000
[8] Rev. Thomas Tsen, Nota Kuliah, Pelayanan Pastoral, Semester 2, 2000.
[9] Rev. Thomas Tsen, Nota Kuliah, Pelayanan Pastoral, Semester 2, 2000
[10] Pastor Judy Berinai, Nota Kuliah, Kaunseling Pastoral, Semester  1, 1999

No comments:

Post a Comment