Sebuah khutbah perlu disediakan dan disampaikan berdasarkan
ciri-ciri yang lazimnya dianggap sesuai dan umumnya diterimapakai, di antaranya
adalah seperti yang disentuh di bawah ini supaya sesebuah khutbah itu mampu
membantu Jemaah bertumbuh di dalam iman:-
1)
Sifat Khutbah
Pada umumnya sebuah khutbah harus
bersifat menghibur, menggalak, mendorong, memimpin, membimbing, memberi
pengajaran, memberi keyakinan akan firman Allah, menegur kelakuan yang tidak
berkenan di hadapan Allah, menyatakan kesalahan, memperbaiki tingkah-laku dan
untuk mendidik anggota Jemaah di dalam kebenaran (2 Tim. 3:16).
2)
Pusat Khutbah
Sebuah khutbah hendaklah
memusatkan penumpuannya untuk menerapkan kebenaran firman Allah yang telah
dipetik agar para pendengar mendapat pengetahuan yang benar mengenai petikan
tersebut.
3)
Tema & Pokok
Persoalan
Sebuah khutbah harus mempunyai
tema dan dari tema itu akan dibangunkan sebuah pokok persoalan yang hendak
dijelaskan kepada para pendengar. Pokok
persoalan itulah yang perlu dijelaskan oleh beberapa kebenaran yang terdapat di
dalam petikan tersebut dan yang perlu diterapkan ke dalam kehidupan anggota
Jemaah. Point-point utama yang diambil
adalah bahan-bahan utama untuk menjelaskan pokok persoalan yang telah dipilih.
Ada kalanya seorang pengkhutbah
tidak mengumumkan tema dan pokok persoalan yang ia hendak jelaskan secara nyata
tetapi para pendengar pasti dapat menangkap temanya apabila khutbah itu
berkisar tentang satu pokok persoalan sahaja.
4)
Setia kepada Teks
Sebuah khutbah harus setia kepada
teks yang sudah dipilih. Apabila seorang
pengkhutbah tidak mempedulikan teks yang dibaca tetapi terus berbicara tanpa
ada kaitan dengan teks maka terjadilah khutbah yang tidak pandai mendarat
sekali ia mendarat dengan cara terhempas sahaja sebab petikan Alkitab
ditinggalkan seperti sebuah kapal terbang yang hilang arah, tidak tahu di mana
lapangan terbang.
5)
Sasaran
Sebuah khutbah hendaklah
mempunyai sasaran. Jika khutbah tidak
mempunyai sasaran ia tidak mampu membangun iman anggota Jemaah kerana khutbah
itu tidak mempunyai arah yang hendak dituju.
Sasaran bagi sebuah khutbah adalah dibangun dari tema yang mahu
diterapkan kepada anggota Jemaah. Jika
kita berkhutbah tentang tema “Kehidupan yang Kudus”, sasaran jangka panjang
khutbah kita ialah untuk melihat kehidupan anggota Jemaah menjadi kudus kerana
itulah tuntutan Allah bagi kita dalam Kristus Yesus. Khutbah yang tidak ada sasaran adalah ibarat
seperti penyapu. Khutbah yang ada
sasaran adalah seperti anak panah yang menuju kepada ‘bull’s eye’ dalam
permainan dart.
6)
Positif
Sebuah khutbah perlu disampaikan
secara positif kerana cara ini akan membantu anggota Jemaah memiliki pandangan
yang positif. Sekiranya sebuah khutbah itu
disampaikan secara negatif, ia hanya merupakan penghalang bagi anggota Jemaah
untuk masuk ke dalam kebenaran kerana biasanya apabila penjelasan maksud firman
Allah itu disampaikan secara negatif, ia tidak betul. Jangan mengambil kesimpulan hanya kerana
melihat satu ayat sahaja sebab ayat sebelum dan sesudah ayat tersebut akan
membantu kita mendapat pengertian yang sesungguh-sungguh.
7)
Jangan Campur-aduk
Sebuah khutbah haruslah tidak
dicampur-aduk dengan masalah gereja kerana pendengar bukan datang untuk
mendengar laporan mutakhir tentang kelemahan/masalah di dalam gereja melainkan
untuk mendengar berita mutakhir daripada Allah tentang kehendak-Nya terhadap
umat-Nya melalui Kristus Yesus.
8)
Jaga Kesucian Mimbar
Sebuah khutbah hendaklah diawasi penyampaiannya
supaya kesucian mimbar tetap terpelihara jangan sampai mimbar menjadi medan
melafazkan perasaan terhadap sesuatu perkara atau pun kepada seseorang. Mimbar adalah untuk membicarakan kebenaran
firman Allah dan bukan tempat membahas atau mempertikaikan sesuatu
masalah/pendapat.
9)
Berisi Rohani
Sebuah khutbah hendaklah berisi
rohani dan bukan semata-mata akademik. Sering kali pengkhutbah membuat
kesilapan di dalam penyampaian fakta-fakta akademik disebabkan kurang
pengetahuan tentang sejarah Alkitab. Sama
ada akademik atau pun rohani, setiap ungkapan di dalam khutbah perlu dijaga
agar ia tidak bertentangan dengan kebenaran kerana ini akan menyesatkan anggota
Jemaah.
10)
Tafsiran Yang Logik
Sebuah khutbah hendaklah
dijauhkan dari tafsiran-tafsiran yang tidak dapat ditarik kebenarannya dari
teks kerana ini akan menimbulkan kebingungan di kalangan pendengar.
11)
Bezakan Khutbah Dengan
Renungan
Pengkhutbah hendaklah tahu
membezakan di antara renungan dan khutbah.
Dalam Kebaktian Umum di Gereja, seorang pengkhutbah hendaklah
menyampaikan sebuah khutbah dan bukan renungan.
Sebuah khutbah mempunyai pola rangka khutbah yang diterimapakai secara
umum dan setiap khutbah harus memenuhi persyaratan sebagai khutbah. Sementara renungan adalah penyampaian firman
Allah yang pendek dan biasanya orang mengambil satu ayat sebagai ayat emas yang
akan dihuraikan atau seorang pembawa renungan akan menghuraikan ayat demi ayat
12)
Gunakan Bahasa yang mudah
difahami
Seorang pengkhutbah perlu
mamastikan bahasa yang digunakannya senang difahami oleh pendengar. Erti umum khutbah adalah menyampaikan firman
Allah dalam istilah-istilah yang senang dimengerti oleh pendengar dan juga
untuk melakukannya. Jika bahasa itu
sendiri tidak difahami oleh pendengar bagaimana mungkin mereka dapat melakukan
kebenaran firman Allah yang terkandung dalam khutbah itu?
13)
Sesuaikan Khutbah Dengan Acaranya
Untuk kebaktian
pengucapan syukur, seorang pengkhutbah harus bijak menyesuaikan tema khutbahnya
supaya sesuai dengan acara
tersebut. Maksud sesuai dengan acaranya
ialah teks yang dibawa hendaklah ada kena mengena dengan acara itu. Jika acara itu adalah ulangtahun, maka sesuai
sejarah gereja itu dibangkitkan dalam khutbah tetapi jika ia adalah dedikasi
gereja, khutbah seharusnya berkisar tentang penggunaan bangunan gereja tersebut
demi kemuliaan Tuhan.
Perkara-perkara yang disebut di atas adalah di
antara perkara yang sering menjadi sungutan Jemaah yang seharusnya tidak berlaku. Untuk menjadi seorang pengkhutbah yang mampu
membangunkan iman Jemaah, kita perlu berusaha untuk menyampaikan khutbah yang
terbaik demi kemuliaan Allah.
No comments:
Post a Comment