Markus 4:1-9 menceritakan tentang seorang penabur
benih di mana ada benih yang ditaburnya jatuh di atas empat jenis tanah berikut:
i) di jalan (tanahnya keras sekali)
ii) di tempat yang berbatu (air sedikit
sahaja)
iii) di tempat yang bersemak duri (membantutkan
pertumbuhan)
iv) di tanah yang subur (tumbuh dan berbuah)
Apakah para pelayan firman Allah pernah memikirkan
perikop ini dengan cara melihat dari sudut penabur bukan dari sudut empat jenis
tanah di mana benih itu jatuh? Dalam
perikop itu, penabur itu adalah Tuhan Yesus sendiri dan benih yang ditabur itu
adalah firman Allah. Kita yakin dan
pasti bahawa jika Tuhan Yesus yang menabur benih firman Allah sudah tentu Ia
tidak akan menabur benih firman Allah yang mati.
Ketika Yesus memberitakan firman Allah, Ia
memberitakan di merata tempat lalu kita boleh simpulkan bahawa orang-orang yang
mendengar Berita itu boleh dikategorikan kepada empat kelompok dan hanya satu kelompok
atau 25% sahaja yang mudah menerima dan melakukan firman Allah dalam hidup
mereka sehingga firman itu tumbuh dan berbuah banyak. Mana kala 75% lagi adalah sukar untuk
menerimanya.
Pada masa kini persoalannya bukan lagi tanah
tetapi seorang penabur benih itu. Mereka
yang sanggup datang ke gereja untuk ikut serta dalam ibadah kita tidak lagi boleh
kategorikan mereka dengan empat jenis tanah itu. Mereka semuanya adalah dari kelompok 25%
iaitu tanah yang subur. Namun persoalan
yang sering kita dengar ialah mengapa mereka tidak pernah bertumbuh dan
berbuah? Seorang petani pastinya tahu
bahawa betapa pun suburnya ladang yang diusahakannya jika benih yang ia tabur
adalah benih yang mati, ia tidak akan pernah tumbuh. Dalam pada itu, kita boleh simpulkan bahawa
masalah utama dalam gereja sekarang adalah penabur itu yang menabur benih yang
mati. Jadi, para pengkhutbah perlu
memastikan bahawa mereka menabur benih yang hidup agar ia tumbuh dan berbuah.
Panggilan Allah dalam hidup kita sebagai pelayan
firman-Nya sama ada kita sebagai pelayan penuh masa atau pun hanyalah sebagai
pengkhutbah sahaja adalah suatu panggilan daripada Allah yang sangat mulia dan
harus dijaga kemuliaannya. Untuk itu,
perkara berikut ini perlu direnung dengan mendalam walau pun pada dasarnya ia
adalah suatu hiburan sahaja tetapi pelajaran yang tersirat di dalamnya sangat
penting untuk dijadikan pedoman bagi setiap pelayan firman Allah.
1.
Lagu Kanak-Kanak “Bangau Oh
Bangau”
Saya percaya ramai yang pernah mendengar
bahkan tahu menyanyikan lagu kanak-kanak ‘Bangau
oh Bangau’ ini. Ini memang lagu
kanak-kanak sekular tetapi pelajaran yang tersirat di dalamnya sangat baik
sebagai panduan bagi seorang pelayan firman Allah di dalam ia menunaikan tanggungjawabnya. Pelayan firman Allah mempunyai tanggungjawab
yang sangat berat untuk memberi santapan rohani kepada Jemaah dan sekiranya
para anggota Jemaah memiliki kehidupan rohani yang kering, sudah pasti puncanya
adalah pelayan firman Allah itu sama seperti si Bangau yang kurus dan
penyebabnya adalah si ular. Jadi,
seorang pelayan firman Allah perlu memastikan bahawa ia tidak menjadi seperti
si ular. Bagi si ular, katak memang
makanannya lalu itu wajar. Untuk seorang
pelayan firman Allah, pemberitaan firman Allah yang menggemukkan anggota Jemaah
secara rohani juga adalah wajar dan menjadi tanggungjawabnya. Jadi, jika kehidupan rohani para anggota Jemaah
adalah kering-kering belaka, sudah pasti yang menjadi penyebabnya adalah
pelayan firman Allah.
Tidak dapat ditegaskan dengan
lebih tegas lagi bahawa tanggungjawab seorang pengkhutbah adalah sangat berat
dan ia tidak boleh dilakukan sambil lewa sahaja sebab itu Paulus berkata jangan
sampai setelah dia bertungkus lumus memberitakan firman Allah, dia sendiri pula
yang ditolak (1 Kor 9:27).
Cerita berikut ini adalah situasi
yang sangat ditakuti oleh rasul Paulus. Kita
yakin bahawa setiap pelayan firman Allah apa lagi mereka yang melayani sepenuh
masa dan menerima upah dari tugasnya itu, harus memikir dengan masak-masak
supaya tidak terjadi kepadanya apa yang ditakuti oleh rasul Paulus.
2.
Padri dan Pemandu Bas
Ini adalah cerita gurauan sahaja
untuk mengolok-olokkan seorang padri namun pelajaran yang tersirat di dalamnya amat
penting untuk direnung oleh setiap hamba Tuhan yang bertugas sebagai penyampai
firman Allah. Ceritanya adalah seperti
berikut:
Pada suatu hari si padri dan si pemandu
bas itu dikatakan mati. Lalu mereka
dibawa berjumpa dengan rasul Petrus sebagai penjaga pintu syurga. Si padri yang setiap kebaktian Hari Minggu itu
membebel di hadapan Jemaah tidak dibenarkan masuk ke dalam syurga melainkan
rasul Petrus mengarah para malaikat untuk membawanya masuk ke dalam neraka
sementara si pemandu bas pula dibenarkan masuk ke dalam syurga. Si padri pastinya tidak puas hati lalu ia
membantah dengan sekeras-kerasnya.
Menurutnya, dia telah menjalankan tugasnya yang sangat mulia itu dengan
tekun dan jujur sebagai pelayan firman Allah berbanding dengan si pemandu bas
yang hanya membawa penumpang sahaja.
Lalu rasul Petrus memberitahu dia bahawa setiap kali dia berkhutbah
semua anggota Jemaah akan tertidur sementara si pemandu bas pula setiap kali
dia memandu bas, semua penumpang akan mula berdoa.
Semua anggota Jemaah tertidur
ketika si padri menyampaikan firman Allah kerana khutbahnya membosankan, tidak
ada pelajaran yang dapat dipelajari oleh anggota Jemaah melalui khutbah-nya,
tidak pernah memperingatkan anggota Jemaah tentang kebenaran firman Allah yang
perlu dilakukan di dalam hidup mereka dan sebagainya. Sebenarnya si padri itu tidak pernah berkhutbah
melainkan hanya berceramah tentang kebenaran Alkitab. Sementara itu, si pemandu bas pula, setiap
kali ia membawa bas semua penumpangnya akan mula berdoa sebab mereka resah
tentang cara pemanduannya yang kasar dan melulu. Semua penumpang berdoa agar tidak ada apa-apa
yang berlaku terhadap bas tersebut. Para
penumpang lebih dekat kepada Tuhan waktu berada di dalam bas tersebut. Secara tidak langsung pemandu bas tersebut memperingatkan
para penumpang bahawa hidup adalah terlalu rapuh dan bila-bila masa sahaja
nyawa mereka akan melayang bila ada sedikit kesilapan. Mereka menyedari itu lalu mereka memohon
pertolongan Allah dan menyerahkan hidup mereka di tangan Allah.
RUMUSAN
Kita yakin bahawa tidak ada seorang pun yang berperanan
sebagai pelayan firman Allah yang ingin menerima nasib yang sama seperti padri
tersebut. Tulisan ini bertujuan untuk
membantu para pelayan firman Allah agar mereka menyedari bahawa tugas dan tanggungjawab
sebagai pelayan firman Allah itu adalah sangat berat. Melalui tulisan ini adalah diharapkan setiap
pelayan firman Allah akan berusaha agar:-
i) memiliki kesaksian hidup yang berkenan di
hadapan Allah
ii) dapat menunaikan tugas pelayanannya sesuai
dengan panggilannya
iii) dapat menyedia dan menyampaikan khutbah
yang memenuhi persyaratan sebagai khutbah sebagaimana yang disentuh di dalam
tulisan ini dan iman anggota akan bertumbuh
iv) dapat melayani dalam urapan Roh Kudus
Seseorang yang belajar di sebuah Seminar selama 4
tahun apabila keluar untuk melayani pengetahuan yang sangat diperlukan ialah kemahiran
menyampaikan firman Allah. Namun diakui
bahawa kebanyakan seminari ilmu berkhutbah diajar lebih kepada akademik. Inilah yang menyebabkan graduan dari sebuah seminari
masih lagi tercari-cari prinsip-prinsip yang sesuai untuk mempersiapkan sebuah
khutbah. Diharapkan buku ini sedikit
sebanyak dapat membantu ke arah penyediaan dan penyampaian sebuah khutbah yang
mampu membangunkan iman anggota Jemaah.
TUHAN MEMBERKATI!
A M
I N
No comments:
Post a Comment