Thursday 14 June 2012

Ciri-Ciri Khutbah Yang Mendorong Pertumbuhan Iman Jemaah




Sebuah khutbah perlu disediakan dan disampaikan berdasarkan ciri-ciri yang lazimnya dianggap sesuai dan umumnya diterimapakai, di antaranya adalah seperti yang disentuh di bawah ini supaya sesebuah khutbah itu mampu membantu Jemaah bertumbuh di dalam iman:-

1)   Sifat Khutbah

Pada umumnya sebuah khutbah harus bersifat menghibur, menggalak, mendorong, memimpin, membimbing, memberi pengajaran, memberi keyakinan akan firman Allah, menegur kelakuan yang tidak berkenan di hadapan Allah, menyatakan kesalahan, memperbaiki tingkah-laku dan untuk mendidik anggota Jemaah di dalam kebenaran (2 Tim. 3:16).

2)      Pusat Khutbah

Sebuah khutbah hendaklah memusatkan penumpuannya untuk menerapkan kebenaran firman Allah yang telah dipetik agar para pendengar mendapat pengetahuan yang benar mengenai petikan tersebut.

3)      Tema & Pokok Persoalan

Sebuah khutbah harus mempunyai tema dan dari tema itu akan dibangunkan sebuah pokok persoalan yang hendak dijelaskan kepada para pendengar.  Pokok persoalan itulah yang perlu dijelaskan oleh beberapa kebenaran yang terdapat di dalam petikan tersebut dan yang perlu diterapkan ke dalam kehidupan anggota Jemaah.  Point-point utama yang diambil adalah bahan-bahan utama untuk menjelaskan pokok persoalan yang telah dipilih.

Ada kalanya seorang pengkhutbah tidak mengumumkan tema dan pokok persoalan yang ia hendak jelaskan secara nyata tetapi para pendengar pasti dapat menangkap temanya apabila khutbah itu berkisar tentang satu pokok persoalan sahaja.

4)      Setia kepada Teks

Sebuah khutbah harus setia kepada teks yang sudah dipilih.  Apabila seorang pengkhutbah tidak mempedulikan teks yang dibaca tetapi terus berbicara tanpa ada kaitan dengan teks maka terjadilah khutbah yang tidak pandai mendarat sekali ia mendarat dengan cara terhempas sahaja sebab petikan Alkitab ditinggalkan seperti sebuah kapal terbang yang hilang arah, tidak tahu di mana lapangan terbang.

5)      Sasaran

Sebuah khutbah hendaklah mempunyai sasaran.  Jika khutbah tidak mempunyai sasaran ia tidak mampu membangun iman anggota Jemaah kerana khutbah itu tidak mempunyai arah yang hendak dituju.  Sasaran bagi sebuah khutbah adalah dibangun dari tema yang mahu diterapkan kepada anggota Jemaah.  Jika kita berkhutbah tentang tema “Kehidupan yang Kudus”, sasaran jangka panjang khutbah kita ialah untuk melihat kehidupan anggota Jemaah menjadi kudus kerana itulah tuntutan Allah bagi kita dalam Kristus Yesus.  Khutbah yang tidak ada sasaran adalah ibarat seperti penyapu.  Khutbah yang ada sasaran adalah seperti anak panah yang menuju kepada ‘bull’s eye’ dalam permainan dart.

6)      Positif

Sebuah khutbah perlu disampaikan secara positif kerana cara ini akan membantu anggota Jemaah memiliki pandangan yang positif.  Sekiranya sebuah khutbah itu disampaikan secara negatif, ia hanya merupakan penghalang bagi anggota Jemaah untuk masuk ke dalam kebenaran kerana biasanya apabila penjelasan maksud firman Allah itu disampaikan secara negatif, ia tidak betul.  Jangan mengambil kesimpulan hanya kerana melihat satu ayat sahaja sebab ayat sebelum dan sesudah ayat tersebut akan membantu kita mendapat pengertian yang sesungguh-sungguh.




7)      Jangan Campur-aduk

Sebuah khutbah haruslah tidak dicampur-aduk dengan masalah gereja kerana pendengar bukan datang untuk mendengar laporan mutakhir tentang kelemahan/masalah di dalam gereja melainkan untuk mendengar berita mutakhir daripada Allah tentang kehendak-Nya terhadap umat-Nya melalui Kristus Yesus.

8)      Jaga Kesucian Mimbar

Sebuah khutbah hendaklah diawasi penyampaiannya supaya kesucian mimbar tetap terpelihara jangan sampai mimbar menjadi medan melafazkan perasaan terhadap sesuatu perkara atau pun kepada seseorang.  Mimbar adalah untuk membicarakan kebenaran firman Allah dan bukan tempat membahas atau mempertikaikan sesuatu masalah/pendapat.

9)      Berisi Rohani

Sebuah khutbah hendaklah berisi rohani dan bukan semata-mata akademik. Sering kali pengkhutbah membuat kesilapan di dalam penyampaian fakta-fakta akademik disebabkan kurang pengetahuan tentang sejarah Alkitab.  Sama ada akademik atau pun rohani, setiap ungkapan di dalam khutbah perlu dijaga agar ia tidak bertentangan dengan kebenaran kerana ini akan menyesatkan anggota Jemaah.

10)   Tafsiran Yang Logik

Sebuah khutbah hendaklah dijauhkan dari tafsiran-tafsiran yang tidak dapat ditarik kebenarannya dari teks kerana ini akan menimbulkan kebingungan di kalangan pendengar.

11)   Bezakan Khutbah Dengan Renungan

Pengkhutbah hendaklah tahu membezakan di antara renungan dan khutbah.  Dalam Kebaktian Umum di Gereja, seorang pengkhutbah hendaklah menyampaikan sebuah khutbah dan bukan renungan.  Sebuah khutbah mempunyai pola rangka khutbah yang diterimapakai secara umum dan setiap khutbah harus memenuhi persyaratan sebagai khutbah.  Sementara renungan adalah penyampaian firman Allah yang pendek dan biasanya orang mengambil satu ayat sebagai ayat emas yang akan dihuraikan atau seorang pembawa renungan akan menghuraikan ayat demi ayat

12)   Gunakan Bahasa yang mudah difahami

Seorang pengkhutbah perlu mamastikan bahasa yang digunakannya senang difahami oleh pendengar.  Erti umum khutbah adalah menyampaikan firman Allah dalam istilah-istilah yang senang dimengerti oleh pendengar dan juga untuk melakukannya.  Jika bahasa itu sendiri tidak difahami oleh pendengar bagaimana mungkin mereka dapat melakukan kebenaran firman Allah yang terkandung dalam khutbah itu?

13)   Sesuaikan Khutbah Dengan Acaranya

Untuk kebaktian pengucapan syukur, seorang pengkhutbah harus bijak menyesuaikan tema khutbahnya supaya  sesuai dengan acara tersebut.  Maksud sesuai dengan acaranya ialah teks yang dibawa hendaklah ada kena mengena dengan acara itu.  Jika acara itu adalah ulangtahun, maka sesuai sejarah gereja itu dibangkitkan dalam khutbah tetapi jika ia adalah dedikasi gereja, khutbah seharusnya berkisar tentang penggunaan bangunan gereja tersebut demi kemuliaan Tuhan.

Perkara-perkara yang disebut di atas adalah di antara perkara yang sering menjadi sungutan Jemaah yang seharusnya tidak berlaku.  Untuk menjadi seorang pengkhutbah yang mampu membangunkan iman Jemaah, kita perlu berusaha untuk menyampaikan khutbah yang terbaik demi kemuliaan Allah.

No comments:

Post a Comment