Thursday 14 June 2012

Dua Pendapat Yang Salah Tentang Khutbah



Sekurang-kurangnya ada dua pendapat umum yang salah yang orang-orang cenderung melakukan berhubung dengan khutbah.
1.          Tidak Perlu Persiapan
Pendapat yang pertama ialah bahawa persiapan sesebuah khutbah itu tidak perlu kerana ia menandakan kurangnya iman.  Orang yang mengambil pandangan ini cenderung merasakan bahawa iman yang sesungguhnya tidak perlu sebarang usaha untuk mempersiapkan sesebuah khutbah, lalu berdiri begitu sahaja di hadapan jemaah - percaya bahawa Allah akan membekalkan kata-kata untuk dikhutbahkan.  Ia berserah sepenuhnya kepada pimpinan Roh Kudus sehingga ia langsung tidak berusaha.  Ia lupa bahawa Roma 8:26 berkata bahawa Roh Kudus membantu kita dalam kelemahan tetapi bukan dengan kemalasan dan kelalaian kita.
Ayat kitab suci kesukaan bagi orang-orang seperti ini adalah Mazmur 81:11, "... bukalah mulutmu lebar-lebar, maka Aku akan membuatnya penuh". Konteks Mazmur menunjukkan bahawa ayat ini tidak ada kena mengena dengan pemberitaan firman Allah!  Kecenderungan untuk mengabaikan konteks alkitabiah tentang kitab suci sudah menjadi biasa bagi orang seperti ini.  Ia menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab dan kurang matang.  Orang seperti ini adalah selalu didapati berbicara sembarangan sahaja.  Kita tidak boleh menyalahkan Tuhan kerana kata-kata orang ini.
Memang tidak diragui ada tempat untuk inspirasi, tetapi ada juga tempat yang sah bagi persiapan.
2.          Cukup Dengan Kemampuan Manusia
Pendapat yang kedua ini hampir seekstrim kepada yang pertama.  Dalam hal ini, kepercayaan yang sepenuhnya diletakkan kepada persiapan dan kemampuan manusia.  Di sini hanya sedikit atau langsung tidak ada ketergantungan kepada Roh Kudus, tetapi rasa yakin pada diri sendiri sebagai hasil latihan dan pengembangan kemampuan semulajadi.
Latihan semacam itu memang mampu menghasilkan cara perbicaraan yang menarik dan meyakinkan.  Bagaimanapun, hanyalah urapan Roh Kudus di dalam khutbah yang dapat melayani kehidupan Allah kepada Jemaah.  Kebenaran adalah bahawa pelayanan yang efektif memerlukan aspek ilahi dan manusiawi.  Allah pasti memberkati dan mengurapi bahan-bahan pemikiran yang telah didoakan secara tekun dan yang telah dipertimbangkan semasak-masaknya.
Biarlah persiapan anda mengandungi persiapan yang difikirkan masak-masak dan disertai doa yang sungguh-sungguh.  Berusahalah menjadi yang terbaik yang anda mampu, tetapi pastikan juga bahawa keyakinan anda adalah pada Allah, bukan pada diri sendiri.  Sentiasa percayakan pada Dia bahawa Ia akan memberkati dan mengurapi pemberitaan anda.

No comments:

Post a Comment