Thursday 14 June 2012

Tiga Jenis Persiapan Khutbah



1.     Khutbah Bertulis
Ini adalah satu cara persiapan khutbah yang memerlukan waktu yang cukup lama.  Ia melibatkan catatan yang sangat banyak.  Seluruh isi khutbah ditulis sebelum disampaikan.  Pengkhutbah tahu dengan tepat apa yang ia harus katakan dan bagaimana cara ia mahu mengatakannya.  Setiap pemikiran yang ada ditulis sepenuhnya.
Cara seperti ini sering memerlukan banyak kertas catatan.  Ia memberi perhatian pada hal-hal yang sangat terperinci, penyusunan kalimatnya dan kata-kata yang tepat yang akan digunakan.  Setiap aspek khutbah yang dicadangkan dipertimbangkan secara terperinci.
Cara ini mempunyai kebaikan-kebaikan dan keburukan-keburukannya.  Kebaikannya adalah bahawa seluruh bahan khutbah sudah dikerjakan dengan sedemikian terperinci dan dengan sangat teliti.  Dengan demikian, ada suatu liputan yang cukup bagi setiap hal yang penting tentang kebenaran yang berkenaan.  Tidak ada sedikitpun yang tertinggal.  Cara ini memastikan penanganan yang lengkap dan menyeluruh bagi setiap hal.
Keburukan cara penyampaian khutbah seperti ini ialah ada kalanya saat khutbah berlangsung ternyata ada yang tidak menarik dan tidak dapat menguasai perhatian para pendengar.  Cara penyampaian khutbah seperti ini boleh dengan mudah sekali menjadi sangat membosankan.
Keadaan di dalam bilik sewaktu kita mempersiapkan khutbah sangat berbeza dengan suasana di dalam ruang ibadah.  Para pendengar mungkin sudah merasa bosan mendengar khutbah tetapi khutbah tetap diteruskan juga kerana sudah disediakan dan jika diakhiri sebelum waktunya akan ketara bahawa khutbah tersebut tidak selesai.
Khutbah bertulis juga tidak memberi ruang kepada Roh Kudus untuk memberi inspirasi kepada pengkhutbah sebab ruangnya sudah ditutup rapat-rapat dengan perincian kata-kata manusia yang sudah dipersiapkan lebih awal, mungkin seminggu yang lalu.
Cara ini juga tidak membolehkan si pengkhutbah untuk berinteraksi dengan pendengar sebab matanya tertumpu kepada bahan khutbah yang sudah ditulis dengan lengkap.  Sebenaranya dia bukan berkhutbah tetapi hanya membaca catatannya di hadapan Jemaah.
2.   Jenis Catatan Kerangka
Ini adalah cara yang paling sering digunakan dan yang dirasa adalah yang paling berkesan.  Catatan dibuat sesingkat mungkin, menyediakan garis-garis besar yang cukup tentang khutbah itu untuk membangkitkan ingatan.
Catatan-catatan singkat itu membentuk suatu "kerangka" tentang khutbah.  Catatan-catatan tersebut adalah tulang-tulang yang dapat memberi bentuk dan susunan tentang apa yang seorang pengkhutbah ingin sampaikan.  Sewaktu pengkhutbah itu berbicara, ia menaruh "daging" pada tulang-tulang dan "tubuh" pada khutbahnya.  Dia mengembangkan pemikiran-pemikiran yang mana catatan kerangkanya telah rangsangkan.
Cara ini memberi kesempatan pada pengkhutbah untuk bergerak lebih bebas.  Dia tidak terlalu terikat dengan catatannya.  Dia akan lebih terbuka untuk menerima ilham daripada Roh Kudus yang sering datang kepadanya pada waktu ia sedang berkhutbah.
Penyampaiannya akan lebih spontan dan menarik, tetapi kerangka khutbah tetap membimbing fikirannya tetap di landasan yang tepat, tidak menyimpang.  Dia mampu memberi liputan fikiran yang mendalam dan mencukupi atas tema yang disampaikannya, tetapi penyampaiannya tidak susah untuk diikuti.
Cara penyediaan khutbah seperti ini menuntut pengetahuan yang luas tentang tema yang sudah ditetapkan sebab pengkhutbah perlu mengembangkan kerangka khutbahnya secara spontan.
3.       Khutbah yang Tidak Dirancang (Spontan)
Gaya pemberitaan firman Allah seperti ini bersifat spontan dan biasanya pada saat penyampaiannya tidak disertai catatan apapun.  Khutbah yang disampaikan sering difikirkan masak-masak serta hati-hati sebelum disampaikan, hati dan fikiran dipenuhi oleh aspek-aspek penting dari pesan firman yang akan disampaikannya.
Cara ini sering digunakan untuk menyampaikan jenis khutbah yang lebih inspirasi.  Khutbah-khutbah penginjilan boleh disampaikan dengan lebih efektif melalui cara ini.  Firman yang dibawakan mengalir dari hati dan sering melibatkan emosi yang cukup kuat.
Penyampaian firman seperti ini boleh jadi menarik dan merangsang apabila disampaikan oleh pengkhutbah yang mahir dan berpengalaman serta diurapi Roh Kudus.  Ia menggetarkan emosi serta membuka fikiran.
Ada dua potensi keburukan dalam cara ini.  Pertama, ia selalu kekurangan isi yang bererti, dan roh dan fikiran para pendengar tidak dibangun.  Kedua, penyampaian mungkin menjadi penuh luapan emosi sahaja, menjadi tidak masuk akal dan juga tidak meyakinkan.
Pengkhutbah juga cenderung keluar tajuk perbicaraan kerana tidak ada panduan di dalam penyampaikan khutbah.

Ringkasan
Disarankan pemakaian catatan jenis kerangka itu digabung dengan hal-hal yang baik yang ada pada 2 cara yang lainnya.  Catatan-catatan tidaklah perlu sedemikian berat sehingga si pemberita firman Allah cenderung terikat pada catatan itu.  Dia ada kesempatan bergerak lebih leluasa dan fikirannya terus terbuka bagi ilham yang lebih segar - walaupun pada saat ia sedang berkhutbah.
Di samping itu, dia memiliki suatu susunan pemikiran yang teratur di hadapannya.  Dia tidaklah berdiri di hadapan para pendengarnya dan berbicara secara rambang mengenai konsep-konsep yang tidak berhubungan.  Catatan bentuk kerangka ini sesuai dipakai untuk mengajar dan berkhutbah.  Bentuk dan isi catatan yang digunakan untuk mengajar memerlukan penanganan yang lebih penuh pada tiap subjeknya jadi satu bentuk catatan nota sangat diperlukan.  Ia sangat sulit bagi seorang guru untuk meliputi semua subjeknya tanpa bantuan beberapa catatan.
Kerana itu, disarankan agar anda memberi perhatian untuk menguasai pendekatan catatan jenis kerangka ini.  Pakailah cara ini pada masa anda belajar.  Sewaktu anda merenungkan isi Alkitab, cubalah membuat catatan singkat yang sederhana dari ilham dan wahyu yang anda terima.
Ini akan menolong anda juga apabila anda membuat susunan khutbah nanti.. Membiasakan diri membuat catatan jenis kerangka akan sangat menolong khususnya ketika anda berdiri untuk berkhutbah.  Cara ini akan membantu anda melatih fikiran anda untuk memiliki pola pemikiran yang teratur.  Ia membuat anda lebih lancar dan lebih mudah untuk didengar.
Ringkasan Cara Penyediaan Khutbah Tekstual

Khutbah tekstual adalah sebuah khutbah yang menggunakan perikop sebagai bahan khutbahnya.  Untuk membantu para pengkhutbah agar dapat menghasilkan sebuah khutbah yang dapat menjamah hati para pendengar, berikut ini adalah ringkasan cara penyediaan sebuah khutbah tekstual yang dirasakan sesuai diamalkan dan dijadikan sebagai satu panduan.

1.       Pilihlah satu perikop di dalam Alkitab (kalau tidak ada yang sediakan) dan bacalah ia berulang kali sehingga kita mendapat kebenaran yang perlu disampaikan kepada Jemaah.  Kebenaran akan timbul dari ayat-ayat tersebut apabila kita membacanya berulang kali sambil berdoa.
2.       Catatkan kebenaran-kebenaran yang kita telah temukan itu di dalam bentuk pokok-pokok khutbah.

3.       Carilah tema dan pokok persoalan yang mahu disajikan kepada Jemaah yang mampu dijelaskan oleh pokok-pokok kebenaran yang terdapat di dalam teks yang telah dipilih.

4.       Kelompokkan ayat-ayat yang ada hubungan erti di antara satu dengan yang lain dari perikop di bawah satu pokok perbicaraan.  Biarlah tiap pokok itu mewakili suatu pemikiran/pendapat yang terpisah.  Tidak semua ayat akan berakhir di dalam susunan seperti yang tercatat di dalam teks tersebut.

5.       Rancanglah dan susunlah pokok-pokok ini sehingga menjadi dasar untuk satu khutbah yang mudah diikuti dan mempunyai satu kesatuan garis besar.

Khutbah tekstual yang benar bukanlah semata-mata membuat sebuah tafsiran yang lancar dari ayat ke ayat tentang teks yang dipilih.  Jika caranya adalah seperti itu, itu hanya menyampaikan sebuah ulasan dari ayat-ayat tersebut.  Jangan hanya membaca ayat pertama dan memberi tafsirannya, kemudian ayat kedua dan seterusnya kerana itu sudah tergolong di dalam huraian Alkitab.  Huraian ayat Alkitab tidak tergolong sebagai sebuah khutbah.

Sebagai ilustrasi bagi satu rangka khutbah tekstual, mari kita perhatikan Yohanes 15:1-8.  Perikop ini diberi tajuk “Pokok Anggur Yang Benar” (Terjemahan Indonesia).  Tajuk perikop tidak semestinya dijadikan tema khutbah kerana tema adalah bergantung kepada kebenaran yang kita hendak sampaikan.  Daripada saranan-saranan yang terdapat di dalam pokok utama, kita akan mengambil tema “Murid Yang Berhasil” dengan pokok persoalan yang kita mahu bincangkan atau bahaskan ialah “Bagaimanakah kita menjadi Murid yang berhasil” berdasarkan kebenaran-kebenaran rohani yang terdapat di dalam perikop ini.  Sila perhatikan rangka khutbah berikut ini:-

Tema        :              Murid Yang Berhasil
Pokok      :              Bagaimanakah kita menjadi murid yang berhasil?
Teks         :              Yoh 15:1-8

Pendahuluan
1. Apakah yang diingini Tuhan daripada murid-murid-Nya?
     a.  Pastinya Dia inginkan hati (iman) mereka - Ibr 11:6; Yoh 8:24
     b.  Tetapi juga kerja baik mereka- Lk 6:46

2. Kerja juga adalah sebahagian penting tentang pemuridan...
     a.  Kita diciptakan untuk tujuan ini - Ef 2:10
     b.  Melaluinya kita memuliakan Allah Mat 5:16; Yoh 15:8

[Kerja baik adalah petunjuk sebagai murid Kristus yang berhasil]

Bagimanakah kita menjadi murid yang berhasil?

I.           Meninggalkan Perkara-perkara yang tidak memuliakan Allah
    A. Yesus mengajar.
        1.  Ranting yang tidak berbuah akan dipotong. lalu dibakar - Yoh 15:6; cf. Ibr  6:7-8
        2. Ranting yang berbuah akan dipangkas supaya ia berbuah lebih banyak
            Apa yang perlu dipangkas? - dibersih
i.      Perbuatan/keinginan daging - Gal 5:19-21
ii.    Ego – perasaan tinggi hati:
iii. Bila Tuhan memangkas sikap yang menjadi keinginan kita yang tidak memuliakan Allah ia pasti rasa sakit dan ini yang menyebabkan banyak orang Kristian yang sekadar dilahirkan dari atas tetapi tidak pernah dilahirkan baru.

II . Tetap Dalam Kristus
    A. Yesus mengajar.
         1. Harus tetap di dalam Dia sebab ranting tidak dapat berbuah sendirian, ayat 4 
         2. Tetap di dalam Dia, kita akan berbuah banyak sebab tanpa Dia kita tidak mampu berbuat apa-apa,
              ayat 5

     B. Bagaimanakah kita boleh tetap dalam Yesus?.
         1 .Berpegang terus kepada ajaran-Nya
         2. Firman-Nya membersihkan kita daripada segala kekotoran

III. Berbuah itu penting untuk menjadi murid Yesus
     A. Yesus Mengajar.
          1.  Memuliakan Allah dengan berbuah adalah tanda sebagai murid Yesus, ayat 8
          2.  Murid-murid telah dipilih untuk menghasilkan buah, ayat 16

 [Nasib murid yang tidak berbuah adalah sangat mengerikan untuk difikir.  Seperti penulis Ibrani (Ibr 6:9), kami yakin bahawa kamu memiliki sesuatu yang lebih baik yang mengandungi keselamatan.]

IV. Berbuah dapat ditunjukkan dengan pelbagai cara
      A. Memenangkan jiwa bagi Kristus.
           1. Paulus sangat ingin ke Roma - Ro 1:13
           2. Lebih ramai menjadi murid Kristus. Mat 28:19-20
      B. Berkongsi dengan mereka yang memerlukan.
           1. Sebagaimana Paulus menjelaskan tentang sumbangan kepadd orang miskin - Rm 15:25-28
           2. Sebagai berkat Allah berlaku kepada orang yang    2 Kor 8:1-2; 9:12-14
      C. Membina Karakter seperti Kristus.
           1. Petunjuk bahawa seseorang itu berjalan dalam Roh- Ga 5:16, 22-23
           2. Tekun untuk ingin mengetahui tentang kebenaran - 2 Pe 1:5-8
      D. Memuji Allah dan Mengucap Syukur.
           1. Buah daripada bibir kita dalam pujian dan doa adalah korban rohani -  Ibr 13:15
           2. Yang kita persembahkan terus menerus - Ibr 13:15

[Ketika kita menghasilkan buah dengan berbagai-bagai cara, kita bukan sahaja memuliakan Allah dan bukti sebagai murid yang berhasil, kita juga akan mengalami “hidup berkelimpahan” yang mana Yesus ungkapkan dalam Yoh 10:10)]

V. Berbuah membawa kita kepada kepenuhan Hidup
   A. Memenangkan jiwa membawa sukacita
       1. Seperti Paulus rasakan dengan orang-orang di Tesalonika - 1 Tes 2:19-20
       2. Sebagaimana Yohanes menyedarinya dengan “anak-anaknya” - 3 Yoh 4
          -Satu sebab mengapa ramai orang Kristian tidak mengalami hidup yang penuh sukacita adalah 
           kerana mereka tidak berhasil dalam memimpin orang lain datang kepada Kristus!
   B. Berkongsi dengan orang lain akan menghasilkan sukacita
        1. Mereka yang memberi akan diberkati" - Kis 20:35
        2. Kata diberkati boleh diterjemah sebagai sukacita"
          - Jika orang-orang Kristian adalah materialistik dan kedekut sehingga mereka tidak sudi berkongsi,
            mereka tidak akan pernah merasakan keberkatan dalam memberi!
   C. Mengembangkan Karakter seperti Kristus akan menghasilkan kepastian
        1. Bertumbuh di dalam pengetahuan tentang Kristus yang benar akan memastikan “kemasukan yang
            berlimpah” ke dalam kerajaan kekal Tuhan kita - 2 Pet 1:8-11
        2. Mengembangkan kasih seperti Kristus memberi keyakinan tentang pemuridan dan penyelamatan-
            Yoh 13:34-35; 1 Yoh 3:14,18-19
          - Ramai orang Kristian tidak mempunyai keyakinan, dan tidak hairanlah  jika karakter mereka tidak  
            pernah berubah yang terbukti dengan kasih yang sedikit kepada saudara yang lain!
   D. Memuji Allah dan mengucap syukur menghasilkan damai sukacita.
        1. Doa adalah penawar bagi keresahan - Fil 4:6
        2. Sebagai respons pada doa kita, Allah akan memimpin hati kita kepada damai sukacita-Nya- Fil 4:7
          - Kegagalan berbuah berhubung dengan doa, orang Kristian akan dipenuhi dengan keresahan, bukan 
             hidup yang berkelimpahan!

Kesimpulan

1. Mengapa murid yang berhasil sangat penting...?
    a. Ia sangat penting untuk menjadi murid Kristus yang setia
    b. Ia sangat penting menjadi murid Yesus yang dipenuhi
2. Jika kita ingin menjadi murid Kristus yang setia dan dipenuhi..
    a. Tetap tinggal di dalam Dia dengan berpegang kepada perintah-perintah-Nya
    b. Menghasil buah yang memuliakan Allah

 "Dalam hal inilah Bapa-Ku dipermuliakan iaitu jika kamu berbuah banyak dan dengan demikian kamu adalah murid-murid-Ku”. (Yoh 15:8)

Nota: Dalam contoh khutbah di atas banyak ayat rujukan.  Ayat-ayat tersebut sebagai panduan bagi seorang pengkhutbah sahaja bahawa ada rujukan hal tersebut tetapi ayat-ayat itu tidak perlu dibaca.

Ringkasan Cara Penyediaan Khutbah Topikal

Khutbah topikal didefiniskan sebagi suatu khutbah yang mana pokok-pokok perbincangannya diambil dari temanya sendiri dan bukan didasarkan teks Alkitab.  Ini bererti bahawa khutbah topikal mula dengan satu tema dan pokok-pokok utama khutbah itu terdiri daripada pendapat-pendapat yang timbul dari tema tersebut.  Dengan itu, khutbah topikal tidak memerlukan teks sebagai dasar pemberitaannya namun itu tidak bererti bahawa pemberitaan itu tidak alkitabiah, hanya menunjukkan bahawa ayat Alkitab bukanlah sumber tema khutbah topikal.

Untuk menjamin supaya isi khutbah topikal benar-benar alkitabiah, kita harus bermula dengan satu tema yang alkitabiah.  Pokok-pokok perbincangan di dalam rangka khutbah harus diambil dari tema yang alkitabiah, dan setiap pokok utama harus disokong oleh sekurang-kurangnya satu ayat Alkitab.  Ayat-ayat penyokong pokok utama biasanya diambil dari ayat-ayat Alkitab yang sedikit sebanyak jauh terpisah di antara satu dengan yang lain.  Sebagai contoh, kita perhatikan contoh khutbah topikal berikut ini:-

Tema                :           Doa
Pokok Persoalan:            Apakah alasan-alasan bagi doa yang tidak menerima jawapan?
I.                    Salah meminta – Yak. 4:3
II.                 Dosa dalam hati – Maz 66:18
III.               Meragukan Firman Allah – Yak  1:6-7
IV.               Ketidaktaatan kepada firman Allah – Ams 28:9
V.                 Kelakuan yang tidak menghormati nilai hubungan perkahwinan – 1 Pet 3:7

Dari contoh di atas, kita dapat perhatikan bahawa khutbah topikal memiliki satu pokok persoalan yang mana kebenarannya ditarik dari tema itu.  Dengan kata lain, rangka ini hanya menghuraikan satu pokok persoalan sahaja iaitu, “Apakah alasan-alasan bagi doa yang tidak menerima jawapan?”  Alasan bagi doa yang tidak menerima jawapan bukan hanya lima perkara di atas sahaja tetapi untuk menyampaikan sebuah khutbah dengan pokok persoalan ini, cukuplah 5 alasan untuk satu kali berkhutbah.  Pokok persoalan tema ini mungkin juga boleh dijadikan khutbah berseri.

Dalam pokok persoalan di atas, hanya membolehkan kita untuk membincangkan faktor-faktor yang menghalang doa kita dari menerima jawapan lalu pokok-pokok persoalan seperti ‘pentingnya doa, kuasa doa, cara-cara berdoa, hasil doa dan sebagainya tidak boleh dicampur-adukkan di dalam penghuraikan pokok persoalan di atas kerana di dalam setiap khutbah kita hanya boleh menyajikan satu pokok persoalan sahaja.

Pola Rangka Khutbah

Tema                :           _________________
Pokok Persoalan:            _________________
Teks                  :           _________________

Pendahuluan      :           _________________
Kalimat Tanya   :           _________________
Kalimat Peralihan:          _________________

I.              Bahagian Utama Pertama
1.                Tambahan Pertama _______________________________
-          Huraian
-          Kalimat Tanya
-          Penerapan
2.                Tambahan Kedua _________________________________
-          Huraian
-          Kalimat Tanya
-          Penerapan
Peralihan: Bawa Jemaah kembali kepada pokok persoalan.

II.           Bahagian Utama Kedua
1.       Tambahan Pertama ________________________________
-          Huraian
-          Kalimat Tanya
-          Penerapan
2.       Tambahan Kedua _________________________________
-          Huraian
-          Kalimat Tanya
-          Penerapan
Peralihan: Bawa Jemaah kembali kepada pokok persoalan

III.         Bahagian Utama Ketiga
1.       Tambahan Pertama ________________________________
-          Huraian
-          Kalimat Tanya
-          Penerapan
2.       Tambahan Kedua _________________________________
-          Huraian
-          Kalimat Tanya
-          Penerapan
Peralihan: Bawa Jemaah kembali kepada pokok persoalan

Kesimpulan/Penutup/kemuncak
Undangan kepada anggota Jemaah


No comments:

Post a Comment