Tuesday 12 June 2012

TANGGUNGJAWAB DAN PERSIAPAN BAGI SEORANG PELA

Sebarang tugas yang kita lakukan memerlukan persiapan yang rapi agar kita dapat melakukannya dengan baik.  Tugas sebagai pelayan firman Allah lebih lagi memerlukan persiapan dan latihan sebab kita melaksanakan tugas yang sangat berat.  Di dalam agama tradisi suku Rungus, seorang bobolizan56 yang tidak memiliki persiapan/persediaan yang lengkap atau membuat kesilapan ketika menjalankan upacara penyembahan berhala akan dibuang oleh Syaitan57.  Allah tidak akan melakukan seperti Syaitan apabila berlaku kesilapan di dalam khutbah tetapi Tuhan Yesus mengatakan bahawa setiap patah perkataan yang keluar dari mulut kita akan dipertanggungjawabkan kepada kita pada hari penghakiman nanti kerana menurut ucapan kita, kita akan dibenarkan dan menurut ucapan kita juga, kita akan dihukum (Mat 12:36-37).  Oleh itu, berkhutbah bukanlah suatu tugas yang boleh dianggap remeh sahaja melainkan ia adalah suatu tugas yang sangat berat yang perlu dilakukan dengan penuh hati-hati dan ketelusan.

A)     Tugas Dan Tanggungjawab Seorang Pengkhutbah

Seorang pelayan firman Allah mempunyai tugas untuk memberi makan kepada domba-domba Allah.  Tuhan telah mengutusnya untuk memberitakan kebenaran firman-Nya dan para anggota Jemaah yang telah dipercayakan kepadanya akan menerima makanan rohani daripadanya.  Allah akan mengawasi dengan setia, sama ada seorang pengkhutbah itu dapat memberi makanan rohani yang baik dari firman-Nya atau pun di sebaliknya58.

Tugas utama seorang pengkhutbah ialah untuk menyajikan firman Allah yang mampu membangunkan iman para anggota Jemaah.  Seorang peguambela memerlukan waktu berjam-jam untuk mempersiapkan hujah-hujah pembelaannya.  Seorang pengkhutbah harus bersedia untuk bekerja lebih keras dari itu kerana dia akan menyampaikan pembelaannya mengenai kebenaran firman Allah di hadapan Jemaah.  Hakim yang akan mengadili penyampaian pembelaannya adalah Allah sendiri.

Kemampuan untuk menyampaikan khutbah yang boleh menghasilkan perubahan hidup di kalangan anggota Jemaah bermula dari diri pengkhutbah itu sendiri yang sudah mengalami perubahan hati sebab Allah berfirman di dalam Yehezkiel 36:26-27 bahawa Dia akan memberikan hati yang baru dan akan menaruhkan Roh-Nya ke dalam hati manusia.  Inilah janji Allah bagi umat Israel dan janji ini telah digenapi pada Hari Pentakosta (Kis 2:1-13) ketika Roh Kudus turun ke atas 120 murid Tuhan Yesus yang sedang berkumpul di bilik atas sebagaimana yang telah dinubuatkan oleh Yoel (Yoel 2:28-29).

Seorang pengkhutbah yang belum mengalami pembaharuan hati secara total sukar mencapai keberhasilan di dalam pelayanan firman Allah kerana dirinya sendiri yang menjadi penghalangnya.  Untuk menjadi seorang pengkhutbah yang berhasil, berikut ini adalah beberapa hal yang perlu diberi perhatian dengan serius mengenai kehidupan seorang pengkhutbah59.

i)           Kesaksian Hidup Sebagai Pengkhutbah

Kehidupan seorang pengkhutbah haruslah menunjukkan apa yang dikatakan oleh bibirnya kerana dirinya sendiri adalah khutbah yang paling berkesan.  Kehidupan dan teladan seorang pengkhutbah sangat mempengaruhi cara-cara kehidupan para anggota Jemaah.  Pembaharuan hati serta penyerahan sepenuhnya kepada pimpinan Roh Kudus yang akan memampukannya untuk menyampaikan khutbah-khutbah yang positif, yang bersifat rohani dan yang membangun iman anggota Jemaah.  Seorang pengkhutbah yang bersandar sepenuhnya kepada pimpinan Roh Kudus mampu menerapkan kebenaran firman Allah ke dalam hati nurani para anggota Jemaah kerana:-


a)       Dia berani memberitakan kebenaran dengan terus terang (2 Tim 2:15)
b)      Dia akan bergumul di dalam doa kerana melalui doa dia dapat berbicara kepada Tuhan dan Tuhan juga dapat berkata-kata kepadanya.
c)       Dia dapat mengasingkan dirinya dari segala kebiasaan dunia, bahkan dari perkara-perkara yang pada dasarnya bukanlah suatu dosa tetapi masih boleh menghalang atau membuat pelayanannya kurang berhasil:

Pergilah! Tinggalkanlah Babilonia, hai kamu yang membawa perkakas Rumah Tuhan!  Janganlah sentuh apa-apa yang najis, sucikanlah diri kamu dan berangkatlah (Yes 52:11).

d)      Dia mampu meninggalkan segala keinginan daging yang akan membawanya ke dalam dosa.  Penghalang utama bagi seorang pengkhutbah untuk menyampaikan khutbah yang membangunkan iman para pendengar adalah dosa kerana apabila dia sendiri masih bergelumang di dalam dosa, ia tidak akan berani berseru kepada Jemaah agar bertaubat dari dosa.

ii)            Kesaksian Hidup Keluarga

Dalam kita mempersembahkan hidup ini sebagai pelayan firman Allah, ia adalah secara langsung juga melibatkan kehidupan keluarga kita.  Ada hamba Tuhan yang mengabaikan kebajikan keluarga kerana pelayanan.  Ini bukan suatu kesaksian yang baik.  Ada pendapat yang mengatakan bahawa sebelum seseorang itu boleh diangkat menjadi pelayan firman Allah, pucuk  kepimpinan perlu mendapat pandangan daripada pasangannya.  Juga kita perlu menyelidiki tentang tingkah laku anak-anaknya.  Seorang pelayan juga akan tercemar keperibadiannya apabila anak-anaknya terlibat di dalam gejala social yang tidak sihat.  Seorang pelayan pasti hilang kewibawaannya apabila anak-anaknya tidak berjalan sesuai dengan kebenaran firman Allah.  Jika dalam keluarga dia gagal menginjili anak-anaknya, pasti ungkapan-ungkapannya itu di belakang mimbar pastinya tidak membangunkan iman para anggota Jemaah.  Oleh itu, seseorang pelayan harus memastikan bahawa ia memulakan pelayanannya di dalam keluarganya sendiri terlebih dahulu.  Penginjilan harus bermula dalam keluarga sendiri.

iii)          Tanggungjawab Sebagai Pengkhutbah

“....Sepatutnya beberapa orang sahaja antara kamu berusaha untuk menjadi guru.  Kamu tahu bahawa kita yang menjadi guru akan diadili dengan lebih keras daripada orang lain” (Yak 3:1)  Ayat ini bila kita membacanya secara harfiah ia seakan-akan suatu amaran agar tidak ramai yang mahu menjadi pengajar firman Allah.  Walau bagaimanapun, penekanan sebenar ialah tentang komitmen seorang pelayan.  Sering kali berlaku di mana seseorang itu mahu menjadi pelayan malah ada yang menjadi pelayan penuh masa  tetapi tidak sanggup belajar daripada Tuhan Yesus dan tidak rela mentaati kebenaran yang ia temui lalu terjadilah penyelewengan di dalam penyampaian khutbah kerana ia sendiri tidak mengetahui kebenaran sebab belum mengalaminya.

Tanggungjawab utama seorang pengkhutbah di dalam penyampaian khutbah adalah untuk menafsirkan firman Allah ke dalam istilah-istilah yang mampu dimengerti dan yang boleh ditaati oleh manusia.  Dalam kesetiaan dan kebertanggungjawapan kita sebagai penatalayan akan rahsia Allah (1 Kor 4:1) dan di dalam semangat kasih, kita wajib memberitakan seluruh kebenaran firman Allah kepada Jemaah walaupun pemberitaan kita mungkin menyinggung perasaan di kalangan anggota Jemaah yang menyebabkan kita tidak popular.  Dengan cara demikian sahajalah, kita akan menjadi setia kepada kewajipan kita sebagai penatalayan akan rahsia Allah, sama ada kita suka atau tidak, kita tidak dapat melarikan diri dari tanggungjawab itu (1 Ptr 4:10).  Kita juga merupakan jurucakap bagi Allah yang akan berdiri di hadapan Jemaah untuk menyampaikan berita terkini daripada Allah melalui khutbah.

iv)       Keperibadian Berbanding Kemampuan

Keperibadian adalah jauh lebih penting berbanding dengan kemampuan.  Musa adalah seorang yang sangat pandai, dididik di dalam hikmat orang Mesir. “Segala ilmu bangsa Mesir diajarkan kepada Musa dan dia menjadi seorang yang sangat berkuasa, baik dengan kata-kata mahupun perbuatannya” (Kis 7:22).  Tetapi Allah lebih tertarik kepada keperibadiannya yang telah dibina selama 40 tahun di padang gurun berbanding dengan kemampuannya.  Musa telah belajar tentang kerendahan hati apabila dia seorang diri menjadi pendatang asing di negeri orang.

Pergaulan akan membentuk keperibadian seseorang.  Oleh itu, seorang gembala/ pengkhutbah perlu hati-hati bila memilih orang-orang yang dia akan bergaul bersama dan menghabiskan waktu bersama kerana mereka akan mempengaruhi perkembangan keperibadiannya.  Seseorang yang sudah dilahirkan baru apabila selalu bersama-sama dengan orang-orang yang masih duniawi, lama-kelamaan dia akan menjadi serupa dengan mereka sebab orang yang di atas itu lebih senang untuk ditarik turun ke bawah berbanding dengan orang yang di bawah itu untuk ditarik naik ke atas.

Yesus adalah peribadi yang paling baik bagi kita untuk bergaul bersama-sama.  Pada saat kita menghabiskan waktu sendirian bersama-sama dengan Tuhan Yesus, kita akan bertumbuh menjadi serupa dengan Dia sehingga kita mampu memiliki fikiran-Nya (1 Kor 2:16).

v)            Kuasa Sebagai Pengkhutbah

Kuasa seorang gembala/pengkhutbah di dalam pelayanan datangnya daripada Allah sendiri dan bukan dari kedudukannya di dalam gereja atau kemampuan yang dimilikinya.  Kuasa yang besar di dalam pelayanan dihasilkan dari persekutuan yang erat dengan Kristus.  Para rasul telah menghabiskan waktu selama tiga tahun lebih bersama-sama dengan Tuhan Yesus dan kemudian melayani dengan kuasa yang luar biasa setelah mereka menerima baptisan Roh Kudus.

vi)          Pengaruh Sebagai Pengkhutbah

Allah di dalam kemurahan hati-Nya dan kasih kurnia-Nya telah menetapkan secara ajaib bahawa melalui kebodohan pemberitaan Berita Baik orang akan diselamatkan (1 Kor 1:12).  Rasul Paulus menggambarkan masyarakat orang Kristian di Korintus sebagai surat Kristus:

Jelaslah bahawa kamu seperti surat yang ditulis oleh Kristus dan dikirim melalui kami.  Surat ini tidak ditulis dengan dakwat, tetapi dengan Roh Allah yang hidup.  Surat itu tidak ditulis pada batu tulis, tetapi pada hati manusia (2 Kor 3:3).

Penulis-Nya adalah Kristus sendiri dan yang membuat tanda di dalam hati mereka ialah Roh Kudus.  Tugas seorang pengkhutbah ialah menyampaikan dirinya sebagai surat itu yang berpengaruh sepanjang zaman.

vii)     Ganjaran Sebagai Pengkhutbah

Seorang pengkhutbah akan dihakimi jauh lebih berat daripada seorang anggota Jemaah biasa.  Penghakiman akan ditentukan berdasarkan kepada cara bagaimana dia telah mempengaruhi kehidupan para anggota Jemaah.  Jika ia telah membawa mereka berbalik semula dengan Allah, ia akan menerima mahkota kebenaran (2 Tim 4:8) tetapi seandainya dia telah menyebabkan para anggota Jemaah sesat dari kebenaran, maka ia akan menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya (Mat 18:6).

Kita sering menemui orang-orang yang sudah diangkat menjadi pelayan firman Allah tetapi tidak sanggup masuk ke dalam kebenaran firman Allah.  Mereka hanya menjadi penutup pintu kerajaan syurga sebab mereka sendiri tidak mahu masuk ke dalamnya tetapi menghalang orang lain yang ingin masuk ke dalamnya (Mat 23:13).  Para pelayan dianggap sebagai yang memiliki pengetahuan tentang kebenaran (Luk 11:52) tetapi ternyata ada yang tidak sanggup masuk ke dalamnya.  Keadaan ini telah memaksa Tuhan Yesus untuk mengecam ahli-ahli Taurat yang sudah mengangkat diri mereka sebagai pengajar hukum Taurat tetapi mereka sendiri tidak mahu masuk ke dalam kebenaran yang menyebabkan mereka hanya menyesat orang lain60.

Para pengajar firman Allah mempunyai pengaruh yang besar sebagai penatalayan akan rahsia Allah dan yang berpengetahuan tentang firman Allah.  Itulah sebabnya mereka akan dihakimi menurut ukuran yang lebih berat (Yak 3:1) berbanding dengan anggota Jemaah biasa.
B)     Persiapan Rohani

Seorang pengkhutbah bertanggungjawab untuk memberi makanan rohani kepada para anggota Jemaah dari firman Allah.  Dengan tanggungjawab itu, maka seorang pengkhutbah tidak mempunyai pilihan melainkan ia harus memiliki kehidupan rohani yang berkenan di hadapan Tuhan.

Pucuk pimpinan Gereja bertanggungjawab untuk menyaring anggota yang berminat untuk memasuki sebuah seminari.  Adalah diharapkan mereka yang terpilih bukan sahaja memiliki kelayakan akademik tetapi juga kelayakan rohani sebab mereka yang sudah memiliki kelulusan teologi pada umumnya akan menjadi pelayan Firman Allah penuh masa.  Keadaan ini telah menyebabkan penelitian tentang kehidupan rohani seseorang sebagai penatalayan akan rahsia Allah selalunya tidak diambil perhatian lagi melainkan kelulusan teologi sahaja.  Tuhan tidak memandang kepada kelayakan akademik melainkan kepada kelayakan rohani sebab sebagai wakil Allah untuk menyampaikan kebenaran firman-Nya, seorang pengkhutbah harus layak di hadapan Allah yang diwakilinya dan yang melayakkannya adalah kehidupan rohaninya.

Bukan setiap orang yang berpendidikan teologi itu secara automatik layak menjadi pengajar firman Allah kerana kelayakan menjadi seorang pengajar yang mampu menerapkan kebenaran rohani dari firman Allah kepada para anggota Jemaah adalah lebih daripada sekeping sijil teologi.  Dengan itu, hanya mereka yang memiliki kelayakan rohani yang benar-benar layak menjadi pengajar firman Allah kerana merekalah yang mampu memahami akan kebenaran rahsia firman Allah.

Berikut ini adalah di antara syarat-syarat bagi seorang pengkhutbah yang layak untuk mengajar firman Allah:-

i)        Dilahirkan dari Atas

Dengan jelas Tuhan Yesus mengatakan kepada Nikodemus bahawa tidak ada seorangpun yang dapat melihat kerajaan Allah kecuali seseorang itu dilahirkan kembali (Yoh 3:3).  Dalam teks Alkitab yang lebih kuno, istilah ‘dilahirkan kembali’ adalah disebut ‘dilahirkan dari atas’.

Dilahirkan dari atas (born from above) adalah istilah yang lebih tepat digunakan di dalam Injil Yohanes 3:3 sebab kita tahu bahawa kelahiran kembali bukanlah perbuatan manusia melainkan suatu anugerah yang sangat misteri daripada perbuatan tangan Allah yang sungguh ajaib melalui Roh Kudus.

Injil Yohanes 3:3 boleh digambarkan keadaannya seperti apa yang berlaku di dalam Kisah Para Rasul 2:37 apabila para hadirin yang menyaksikan keajaiban ketika Roh Kudus dicurahkan pada Hari Pentakosta yang bertanya kepada rasul-rasul “Saudara-saudara’ apa yang harus kami lakukan?” Saat inilah yang dimaksudkan oleh Tuhan Yesus bahawa seseorang itu sudah dilahirkan dari atas.  Dalam erti kata lain, apabila seseorang itu mendengar firman Kristus (Roma 10:17) dan timbul kesedaran di dalam hatinya bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya yang harus ia selesaikan lalu mencari jalan penyelesaian maka itulah misteri daripada Allah yang menyebabkan seseorang itu sudah dilahirkan dari atas.

Dilahirkan dari atas tidak memberi jaminan apa-apa tentang keselamatan tetapi merupakan detik permulaan kepada seseorang untuk berusaha mengerjakan keselamatannya (Fil 2:12).  Dilahirkan dari atas adalah anugerah ilahi semata-mata yang manusia langsung tidak ada peranannya namun seseorang yang sudah dilahirkan dari atas seterusnya bekerjasama dengan Allah (1 Kor 3:9) untuk menerima kelahiran baru daripada Roh Kudus.

ii)         Pertaubatan

Seseorang yang sudah dilahirkan dari atas tidak semestinya dia akan bertaubat.  Ramai yang mengaku orang Kristian yang bukan sahaja sudah dilahirkan dari atas tetapi sudah dibaptis dengan air tetapi masih terus-menerus melakukan perbuatan yang tidak berkenan di hadapan Tuhan.  Kita tidak dapat menafikan bahawa orang-orang Kristian yang sudah digelar pendeta pun masih ada yang terjerumus dalam kemabukan, penyalahgunaan kuasa, perzinahan dan sebagainya.

Pertaubatan merupakan kelayakan utama bagi seorang pengkhutbah sebab seorang pengkhutbah yang belum bertaubat sudah pasti tidak dapat menyelami erti firman Allah.  Dia boleh berkhutbah tetapi khutbahnya tidak akan menghasilkan pertaubatan di kalangan pendengarnya sebab dia sendiri belum bertaubat.

a)       Pertaubatan akan terjadi apabila seseorang mendengar akan Injil Kristus (Kis 2:37).  Oleh sebab itu, Tuhan telah memakai pemberita Injil Kristus untuk membawa pertaubatan kepada manusia.  Roma 10:17 mengatakan bahawa iman akan timbul apabila mereka mendengar akan kebenaran firman Kristus.  Bila pemberitaan firman Allah dapat diterapkan ke dalam hati nurani para pendengar ia akan menghasilkan pertaubatan yang sejati.

b)      Pertaubatan melibatkan perubahan hati secara total.  Seorang yang sudah bertaubat akan meninggalkan tabiatnya yang buruk dan menggantikannya dengan tabiat yang baik dan yang berkenan di hadapan Allah.

c)       Pertaubatan adalah kerjasama di antara manusia dan Allah yang akan membawa seseorang itu melangkah terus untuk menerima kelahiran baru daripada Roh Kudus (Yoh 3:5)  Jadi pertaubatan boleh diibaratkan sebagai permulaan bagi seseorang untuk melangkah masuk ke dalam kerajaan Allah.

iii)    Lahir Baru

Lahir Baru dan dilahirkan kembali (dilahirkan dari atas) tidak sama ertinya. Lahir baru dapat dicapai apabila ada pertaubatan yang sungguh-sungguh (Kis 2:38) sementara dilahirkan dari atas (Yoh 3:3) adalah perbuatan misteri daripada Allah melalui Roh Kudus dan adalah semata-mata anugerah daripada Allah sebab itu adalah atas kasih kurnia Allah (Kis 2:37).  Lahir baru juga adalah anugerah yang tidak ternilai daripada Allah melalui Roh Kudus tetapi ia adalah dihasilkan daripada kerjasama di antara Roh Kudus dan manusia.

a)       Roh Kudus yang akan melahirkan kita baru (Yoh 3:5) melalui baptisan Roh Kudus;
b)      Sudah menjadi lahir baru/ciptaan baru (2 Kor 5:17), hati kita juga turut diperbaharui sebab kita sudah memiliki roh yang baru (Yeh 36:26-27);
c)       Lahir baru bererti sudah menerima hidup rohani daripada Allah (1 Kor 2:14; dan
d)      Orang yang sudah dilahirkan baru mampu menyembah Allah di dalam roh dan kebenaran kerana rohnya sudah dihidupkan kembali yang memampukan dia berhubung dengan Allah sebab Allah adalah Roh dan sesiapa yang mahu menyembah Dia harus menyembah Dia di dalam roh dan kebenaran (Yoh 4:23-24).  Orang yang belum dilahirkan baru boleh sahaja menyembah Dia tetapi penyembahan itu bukan lahir dari dalam hatinya melainkan sebagai satu perbuatan lahiriah sahaja61.

Dalam kata yang lebih senang difahami oleh manusia, lahir baru adalah seperti pokok buah-buahan yang dikatakan pokok kahwin.  Kita mengambil tunas dari pokok yang sudah matang dan yang kita sudah tahu akan kualiti buahnya yang baik lalu tunas itu dicantumkan dengan pokok yang muda yang kita tidak tahu bagaimana kualiti buahnya tetapi dengan tunas yang diambil dari pokok yang sudah matang dan sudah diketahui kualiti buahnya, kita akan mendapat jaminan bahawa apabila pokok kahwin itu berbuah, kualiti buahnya sama persis dengan buah yang dihasilkan oleh pokok matang itu kerana yang berbuah itu adalah sebahagian daripada pokok yang matang itu.

Dalam pada itu, pokok asli yang masih muda itu tidak ada jaminan bahawa ia akan menghasilkan buah yang baik lalu sebarang tunas yang tumbuh darinya perlu dipotong agar yang tumbuh hanyalah tunas yang diambil dari pokok matang yang kualitinya dijamin baik.  Jika tunas dari pokok muda itu dibiarkan tumbuh, ia akan menenggelamkan tunas baru itu sebab tunas dari pokok muda itu mempunyai dasar yang sangat kuat.  Setiap manusia juga dilahirkan dengan sikap-sikap yang cenderung melakukan kejahatan walaupun potensi menjadi rohani itu masih ada tetapi ia hampir-hampir mati sebagaimana yang dikatakan di dalam Wahyu 3:2, “Bangunlah dan kuatkanlah apa yang masih tinggal yang sudah hampir mati sebab tidak satupun dari pekerjaanmu Aku dapati sempurna di hadapan Allah-Ku”.  
Apabila Yohanes Pembaptis berkata di dalam Yohanes 3:30, “Ia harus makin besar, tetapi aku harus makin kecil”, dia mengetepikan agenda peribadinya untuk mengikuti agenda Tuhan Yesus.  Dia taat kepada kehendak Allah dan menunaikan misi Allah lalu Yohanes dengan rendah hati berkata , “Ia harus makin besar, tetapi aku harus makin kecil.’  Begitu jugalah agenda hidup seseorang yang sudah dilahirkan baru.  Biar sifat-sifat yang mulia yang datangnya daripada Tuhan  Yesus yang semakin kelihatan di dalam hidupnya dan tabiat-tabiat buruk yang cenderung melakukan yang jahat semakin tidak kelihatan.

iv)    Penyembuhan Dalaman

Penyembuhan dalaman adalah proses selanjutnya di dalam kehidupan seorang Kristian menuju ke arah hidup yang bebas untuk menyembah Allah62.

a)       Setiap orang pernah mengalami kesedihan, kekecewaan, dilukai hatinya, perasaannya tersinggung, dimarahi, ditolak oleh keluarga, kawan-kawan/kekasih, dibenci, diketepikan, tidak dipedulikan, difitnah, dimaki, dituduh secara tidak berasas dan sebagainya.

b)      Perkara-perkara yang pernah kita lakukan yang tidak berkenan di hadapan Allah juga selalu menghalang pertumbuhan rohani kita.  Salah satu pelayanan Roh Kudus di dalam hidup kita ialah penyembuhan dalaman.

c)       Penyembuhan dalaman adalah suatu proses kerjasama dengan Tuhan untuk mengizinkan Dia menyembuhkan dan menghapuskan segala perkara yang negatif dari alam semulajadi psikologi kita yang menghalang Roh Kudus bekerja secara aktif di dalam hidup kita.

d)      Proses penyembuhan dalaman dan proses penyembuhan luka di tubuh kita adalah sama sahaja.  Jika luka itu sudah sembuh walaupun kesannya atau parutnya masih ada tetapi ia tidak akan menyebabkan kita merasa sakit apabila ia tertekan atau tersentuh.

iv)  Kekudusan Hidup

Tuhan menuntut kehidupan yang kudus sebagaimana yang tercatat di dalam ayat-ayat Alkitab berikut ini:

Tetapi hendaklah kamu menjadi kudus di dalam seluruh hidupmu sama seperti Dia yang kudus, yang telah memanggil kamu, sebab ada tertulis: Kuduslah kamu, sebab Aku kudus (1 Ptr 1:15-16). Berusahalah hidup damai dengan semua orang dan kejarlah kekudusan, sebab  tanpa kekudusan tidak seorang pun akan melihat Allah (Ibr 12:14)

Syarat Tuhan tetap sama dan tidak akan pernah berubah sampai bila-bila masa pun juga iaitu “kekudusan” yang membolehkan kita melihat Allah.

a)       Kekudusan hidup bermula dengan pertaubatan yang sungguh-sungguh yang membawa kita kepada lahir baru yang akan terus bertumbuh sehingga kita mencapai hidup yang bebas dari dosa.  Itulah hidup yang kudus.

b)      Kehidupan rohani bagi orang-orang Kristian adalah progresif, bukan statik. Pembaharuan tanpa pertumbuhan tidak berguna dan merbahaya sebab hanya akan ada satu kemungkinan iaitu kembali kepada keadaan hidup yang lama apabila tidak ada pertumbuhan.  Dalam Injil Matius 12:43-45 dinyatakan bahawa roh jahat kembali lagi dengan mengajak tujuh roh jahat yang menyebabkan kehidupan orang itu akan lebih jahat lagi.

c)       Alkitab tidak ada menggariskan suatu ukuran kekudusan bagi Allah dan suatu ukuran kekudusan bagi umat-Nya.  Sebab Alkitab berkata “Kuduslah kamu, sebab Aku kudus”(1Ptr 1:16).  Oleh kerana Allah itu kudus, Dia pun menuntut kekudusan daripada umat-Nya.

d)      Manusia mampu menjadi kudus berdasarkan kepada kekudusan Allah sebab Alkitab berkata:

Abraham betul-betul yakin bahawa Allah sanggup melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya (Rm 4:21). Dengan kuasa Allah yang bekerja dalam diri kita, Allah dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan (Ef 3:20).

f)    Kekudusan Allah adalah dasar bagi kita untuk menjadi kudus.  Allah mahu memberikan kekudusan-Nya itu di tengah-tengah manusia, dan itulah Yesus Kristus yang dikandung oleh “Roh Allah dan lahir ke dunia sebagai Anak yang disebut KUDUS, Anak Allah” (Luk 1:35).

v)      Sikap Hati Sebagai Pengkhutbah

Apabila seseorang itu telah mengalami apa yang telah disentuh di atas, dia sedang meniti jalan yang tepat untuk menjadi seorang pengkhutbah yang mampu menjalankan tugasnya sebagai penatalayan akan rahsia firman Allah.  Menurut T.Norton Strerret, seseorang yang layak berkhutbah harus memiliki ciri-ciri berikut65:-

a)       Hati yang baru (1 Kor. 2:14)

Seorang yang menjadi pemberita firman Allah hendaklah seorang yang sudah memiliki lahir baru.  Orang yang belum diperbaharui hatinya, yang belum menerima hidup rohani daripada Allah, tidak memiliki elemen yang penting untuk memahami kebenaran firman Allah.  Berita Alkitab berkisar tentang Allah dan manusia dan hubungan mereka.  Seseorang yang di luar hubungan itu akan terlepas banyak perkara tentang apa yang Allah telah katakan.  Dia mungkin boleh memahami banyak fakta, gaya bahasa, dan sebagainya.  Jika dia adalah seorang cendekiawan, dia mungkin mampu memperoleh banyak pengetahuan tentang Alkitab, sejarah Alkitab dan orang-orang Yahudi, bahkan sebahagian daripada pengajaran Alkitab.  Namun dia tidak memiliki kelayakan penting untuk mendapatkan mesej Allah.  Dalam pengertian yang paling tinggi, dia tidak mampu menafsir atau memahami Alkitab.

b)      Hati yang lapar (1 Pet 2:2)

Pengetahuan Alkitab tidak dapat diperoleh melalui minat dan pembacaan yang bersahaja sahaja.  Ia bukan seperti batu-batu cantik yang berwarna-warni yang bertaburan di tepi laut yang kita boleh memungutnya dalam masa beberapa saat sahaja pada bila-bila masa sahaja kita menginginkannya.  Ia adalah seperti batu berlian yang berharga di dalam lombong yang kita boleh menemukannya hanya apabila kita bekerja keras untuk mendaptkannya, dengan apa harga sekalipun.  Usaha keras seperti itu datang apabila kita benar-benar lapar untuk mengetahui Allah dan kemudian untuk mengetahui firman-Nya.

Ada orang percaya yang ingin mengetahui firman Allah, lalu ia mengambil keputusan untuk mempelajarinya.  Suatu pagi, dia bangun awal pagi, buat secawan kopi, dan kemudian duduk untuk belajar.  Dia memohon pertolongan Allah dan mulalah membaca.  Setelah beberapa minit, dia rasa mengantuk.  Dia belum menemui kebenaran yang ajaib atau “menerima berkat”. Jadi, rasa letih dan kecewa, dia tidur balik atau beralih ke sesuatu seperti surat khabar atau radio, atau membaca sebuah buku.  Atau mungkin dia cuba mendapatkan sebuah buku tafsiran atau nota atas petikan yang dia baca, untuk memberinya fikiran rohani.

Tetapi di mana rasa lapar akan Allah?  Jika ada sedikitpun dengan mudah dipadamkan.  Ada hal-hal yang lebih mengasyikkan yang menyebabkan orang seperti itu akan menutup Alkitab.  Orang seperti itu tidak akan pernah mempelajari Alkitab.  Dia tidak memiliki hati yang benar-benar lapar untuk mengetahui firman Allah.  Dia mungkin sahaja hanya memperbodohkan dirinya sendiri lalu berkata, “Saya telah cuba untuk mempelajari tetapi saya tidak faham.  Sebenarnya, dia tidak pernah mencuba.  Apabila dia mendapati bahawa usaha keras diperlukan, dia mengalah.  Tidak ada kelaparan yang perlu dipenuhi yang akan terus mendorongnya.  Hati yang lapar adalah diperlukan untuk mengetahui Alkitab.




c)       Hati yang taat (Maz 119:98-100)

Untuk memahami Alkitab dengan sesungguhnya, kita mesti sanggup memberi tindakbalas kepada apa yang Allah tunjukkan kepada kita tentang kehendak-Nya dalam Alkitab.  Alkitab menghendakkan tindakbalas, bukan sekadar analisis sahaja.  Oleh kerana tujuan utama Akitab adalah rohani, Alkitab bukan sahaja menuntut kelayakan rohani tetapi juga menuntut tindakbalas rohani.  Jika kita tidak sanggup memberi tindakbalas itu kita tidak mampu menyelam kebenaran Firman Tuhan dengan sepenuhnya.  Hati yang tertutup bererti pemahaman juga akan tertutup.  Hati yang terbuka akan mendapati bahawa erti kitab suci juga terbuka.

Ingatlah bahawa kesetiaan hati yang Allah kehendaki bukan rekod sempurna tentang tindakan setia.  Allah tidak menunggu sehingga kita telah setia kepada-Nya dengan sempurna untuk suatu jangka waktu yang panjang sebelum Dia mengajar kita dari Firman-Nya.  Tidak, Dia melihat hati kita, dan Dia tahu sama ada hati kita adalah responsif atau tidak. Jika ya, barulah Dia bersedia mengajar kita sementara kita mempelajari Alkitab.

Walaupun hati yang akan dinilai Allah dan diberi ganjaran namun tindakan setia juga adalah penting.  Allah mula mengajar apabila Dia melihat hati yang setia, tidak menunggu tindakan setia sepanjang hidup.  Tetapi peningkatan dalam pembelajaran Firman Allah bergantung juga ke atas kesetiaan kita kepada apa yang Allah telah ajarkan selama itu.  Pembelajaran dan kesetiaan adalah seiring sejalan, selangkah demi selangkah.  Jika Allah mengajar kita sesuatu di dalam Alkitab dan kita menolak untuk mentaatinya, lalu kita jangan berharap bahawa Allah akan mengajar kita dengan lebih banyak lagi.  Kita mungkin dapat mempelajari lebih banyak fakta, tetapi kebenaran rohani yang penting akan tersembunyi.  Tanpa kesetiaan pada setiap langkah, langkah-langkah seterusnya dalam mengetahui firman Allah adalah sukar.

d)         Hati yang berdisiplin (Mat 7:7)

Orang yang memiliki hati yang berdisiplin akan memulakan suatu pembelajaran firman Allah dan akan terus melakukannya walaupun ia mendapati bahawa ia adalah sukar sekali.  Dia rela mengetepikan segala hal lain yang dia suka untuk melakukannya demi kepentingan tugas pembelajarannya yang utama.  Walaupun ia mungkin memakan masa yang panjang untuk mencapaikannya, dia akan tetap menghadapinya dengan tabah dan dia tidak akan berpaling darinya sebab dia tahu ia adalah benar.  Pembelajaran Alkitab menuntut hati yang berdisiplin.

Dan harus ada disiplin sendiri.  Tidak ada orang lain yang dapat memaksa seseorang itu mempelajari Alkitab.  Jika dia memutus untuk melakukannya, dia harus memulakan dan kemudian tetap kepadanya.  Pada suatu masa dia akan mendapati bahawa ia sangat menarik, bahkan mengasyikkan, tetapi bukan selalu.  Pada suatu hari kebenaran baru dipelajari yang memberkati hati kita, tetapi pada hari lain kita mungkin tidak mendapatkan berkat itu.  Namun orang yang berdisiplin akan terus tetap melakukannya sebab dia rindu untuk mengetahui Firman Allah, dan dia tahu bahawa tujuan seperti itu tidak dicapai dengan cepat atau dengan senang sahaja.

Ramai orang Kristian telah memulakan kursus Alkitab.  Mereka telah menyelesaikan satu, dua atau tiga pelajaran, mendapati bahawa mereka telah menggunakan masa yang sepatutnya bagi perkara-perkara lain, bahawa mereka tidak selalu merasa seronok, lalu meninggalkan kursus dan tidak pernah menyelesaikannya.  Jika itulah cara kita, tidak ada guna berusaha untuk mempelajari Firman Allah atau pun memulakan suatu program pembelajaran yang tetap.  Ia adalah “carilah maka kamu akan mendapatkannya” bukan “anda akan mendapatkannya secara kebetulan atau sepintas pandang sahaja’.

e)       Hati yang boleh diajar (Yes 50:4)

Hati yang boleh diajar adalah hati yang mahu belajar dan yang akan terus mahu belajar.  Hati yang boleh diajar adalah hati yang tidak akan pernah berkata, “Sekarang saya sudah cukup tahu”.  Melainkan, dia menyedari bahawa masih lagi banyak  perkara yang dia perlu pelajari, dan dengan tekun dan rendah hati siap sedia untuk belajar pada bila-bila masa.

Hati seperti ini juga siap sedia untuk belajar melalui orang lain.  Mungkin kita rela belajar daripada Allah atau mungkin sahaja kita mempunyai fikiran sedemikian, tetapi apakah kita rela belajar daripada-Nya jika Dia mahu mengajar kita melalui orang lain?  Terutamanya jika pengajaran itu bererti bahawa orang itu betul dan kita silap tentang sesuatu kebenaran atau fahaman.  Ini adalah ujian yang akan menentukan sama ada hati kita itu boleh diajar atau pun di sebaliknya.

Kita semua ada ide tentang kitab suci, fahaman tentang doktrin dan erti bagi banyak petikan ayat kitab suci.  Dari manakah kita mendapat semua ide itu?  Ada yang kita peroleh dari mendengar akan khutbah hamba-hamba Tuhan yang berstatus sebagai pengkhutbah antarabangsa.  Ada yang kita peroleh dari pembacaan kita tentang buku-buku rohani yang ditulis oleh orang-orang yang diurapi dan dipakai Tuhan dengan luar biasa.  Apakah kita sanggup mendengar kebenaran firman Allah daripada orang yang kita anggap hina?  Namun inilah ujian bagi hati yang boleh dan mahu belajar akan kebenaran firman Allah apabila seseorang itu sanggup duduk mendengar siapa sahaja yang akan menyampaikan kebenaran firman daripada Allah.

C)           Pergumulan dan Persiapan Khutbah

Di dalam 1 Petrus 4:11 rasul Petrus memperingati semua yang berperanan sebagai penyampai firman Allah, sedemikian:-

Sesiapa yang menyampaikan perkhabaran, harus menyampaikan perkhabaran daripada Allah.  Sesiapa yang memberi pertolongan kepada orang lain, harus melakukannya dengan kekuatan yang diberi oleh Allah, supaya dalam segala hal Allah dimuliakan melalui Yesus Kristus.  Kristuslah yang memiliki kemuliaan dan kuasa selama-lamanya. Amin

Khutbah merupakan acara di mana para anggota Jemaah menerima santapan rohani untuk mendewasakan iman mereka.  Secara umum, berkhutbah ialah mengumum, meyakin atau mendesak orang untuk menerima atau meninggalkan suatu ide/kebiasaan atau tindakan, menyajikan suatu pernyataan fikiran yang diperluaskan mengenai suatu tema66.  Definisi ini menjelaskan bahawa berkhutbah itu adalah suatu tindakan untuk mengkomunikasikan sesuatu perkara kepada para pendengar.  Yesus Kristus sebagai Tuhan adalah inti daripada khutbah itu.

Di dalam kebaktian umum ada dua cara pendekatan di dalam penyampaian khutbah: Cara pertama adalah untuk mendorong, menguat, mendewasakan iman Jemaah, mengajar mereka untuk lebih mengabdikan diri kepada Allah agar mereka terus menerus mampu mempersembahkan hidup mereka sebagai persembahan yang hidup, kudus dan yang berkenan di hadapan Allah.  Cara kedua adalah untuk menginjili orang yang sesat agar bertaubat, beriman dan menyerahkan diri kepada Tuhan Yesus67.

Berkhutbah bukan sekadar menyampaikan informasi sebab guru-guru dunia dan juga ahli-ahli politik melakukan hal ini tetapi mereka bukanlah pengkhutbah.  Berkhutbah ialah memberitakan kebenaran firman Allah yang datangnya daripada Allah sendiri dan kita menyampaikan kebenaran itu kerana itulah yang kita percaya dan kita telah mengalaminya di dalam hidup kita.  Bila seseorang berdiri untuk menyampaikan khutbah, dia harus ingat bahawa dia adalah jurucakap bagi Allah untuk menyampaikan kebenaran firman-Nya68.

Kita harus mengarahkan fikiran kita kepada Tuhan dan kita perlu menyedari bahawa kita adalah saluran-Nya untuk menyampaikan kebenaran firman-Nya.  Kita perlu mendapatkan kunci kebenaran di dalam sesuatu perikop untuk dikhutbahkan iaitu sesuatu yang akan mengena kepada setiap nurani para pendengar.  Adalah tidak baik bila kita sekadar berdiri di hadapan Jemaah dan mula berkata-kata tentang firman Allah di dalam cara yang tidak teratur.  Kita perlu bekerja keras untuk menghasilkan sebuah khutbah yang baik bagi kemuliaan Kristus.  Allah akan menghargai usaha kita, kita akan maju dan kehidupan rohani Jemaah juga akan bertumbuh.  Roh Kudus menolong segala kekurangan dan kelemahan kita (Rm 8:26) tetapi bukan kemalasan dan kelalaian kita.  Untuk menjadi seorang pengkhutbah yang mahir dan cekap, usaha yang keras adalah kriteria utama di samping bersandar kepada pimpinan Roh Kudus.

i)        Persiapan Khutbah

Persiapan khutbah tidak bermula pada saat kita sudah menemukan teks yang akan dikhutbahkan melainkan saat kita mengetahui bahawa kita akan berkhutbah.  Kita mula bergumul secara umum untuk persiapan rohani, mental dan mencari kehendak Tuhan tentang kebenaran yang akan kita sampaikan nanti.  Persiapan khutbah memakan masa sepanjang hidup kita sebab kita perlu membaca Alkitab secara tetap dari kitab Kejadian sampai kepada kitab Wahyu.  Jika kita selalu mempelajari Alkitab secara tetap kita akan menerima fikiran-fikiran rohani atau pengertian tentang sesuatu kebenaran di dalam Alkitab.

a)      Doa

Orang yang ingin berbicara untuk Tuhan harus belajar terlebih dahulu untuk berbicara kepada Tuhan.  Sering kali pada saat berdoa dan menantikan Tuhan, Dia akan berbicara kepada kita tentang beberapa bahagian kebenaran di dalam Alkitab.

b)      Peperangan Rohani

Penyampaian berita daripada Allah merupakan suatu pergumulan atau peperangan rohani.  Syaitan akan melakukan segala sesuatu di dalam kuasanya untuk menghalang persiapan kita dan menjauhkan kita dari khutbah itu.  Syaitan akan berusaha membuat fikiran kita mengembara, membawa gangguan-gangguan, membuat kita merasa letih atau merasa seperti kita tidak dipimpin oleh Roh Kudus.  Oleh sebab berkhutbah adalah suatu peperangan rohani, kita harus menetapkan waktu untuk mempersiap-kannya69.  Kita harus menyediakan waktu untuk bersama-sama dengan Allah.  Adalah penting untuk melakukan hal ini sebab pemberitaan firman Allah adalah sangat penting.  Pada waktu kita berkhutbah, secara harfiah kita berperang dengan syaitan dan inilah yang tidak disukainya lalu kadang kala roh-roh jahat akan datang kepada kita untuk mengganggu penumpuan kita sementara kita berkhutbah.  Jika kita mempunyai persiapan yang rapi, syaitan tidak dapat mengganggu penumpuan kita.

c)       Pendapat Peribadi

Pada waktu berkhutbah, kita harus mempunyai pendapat dari apa yang  kita akan katakan dan kebenaran dari pokok persoalan yang akan kita beritakan.  Kita harus mengambil keputusan dari kebenaran yang sesungguhnya yang ada di dalam tema itu.  Pendapat peribadi perlu dijaga supaya ia tetap alkitabiah.

Untuk memperkayakan pendapat peribadi, seorang pengkhutbah perlu banyak membaca tentang buku-buku rohani dan yang paling utama ialah harus membaca Alkitab sebab Alkitab itu sendiri adalah sumber yang paling kaya sebagai rujukan tentang sesuatu kebenaran.

Bagi seorang pengkhutbah yang mempunyai kemudahan internet, mereka boleh merujuk kepada pendapat orang lain tentang sesuatu kebenaran untuk memperkayakan pendapatnya dan menambahbaik kualiti khutbah.  Di zaman IT ini tidak ada alasan untuk tidak mengetahui sesuatu kebenaran sebab hampir semua informasi yang kita perlukan ada di hujung jari sahaja.

Seorang pengkhutbah sering kali dipengaruhi oleh perasaannya sendiri bila menafsirkan kebenaran ayat Alkitab sehingga tafsirannya langsung tidak ada hubungan dengan kebenaran di dalam teks tersebut.  Apabila perkara seperti ini berlaku, jalan khutbah itu sukar diikuti dan sering kali terjadi penyelewengan dari maksud firman Allah yang sebenarnya.

d)      Garis Besar

Untuk membantu kita di dalam penyediaan sebuah khutbah, kita perlu menulis segala ungkapan dengan jelas tetapi singkat dan dengan istilah-istilah yang menjadi keperluan manusia, tujuan dari khutbah dan pendapat yang dimaksudkan.  Kita perlu mencari bahagian Alkitab yang sesuai dengan apa yang kita dasarkan khutbah itu.  Teks perlu didapatkan dan seterusnya pemikiran-pemikiran dan kata-kata daripada Tuhan70.

Menyiapkan satu garis besar untuk sebuah khutbah adalah menyusun apa yang akan kita katakan di dalam susunan yang teratur.  Sebuah garis besar adalah seperti sebuah rangka.  Rangka khutbah yang tidak tersusun kurang berkesan.  Rangka khutbah harus dibungkus dengan pendapat dan pemikiran yang membuat rangka khutbah itu perlu diterangkan dengan jelas.

e)       Sebuah Garis Besar

Sebuah garis besar adalah berguna kerana ia akan.

1)            menolong seorang pengkhutbah di dalam mengembangkan pemikirannya
2)            memimpin pengkhutbah di dalam jalan penyampaiannya
3)            menjaga penyampaian di setiap bahagian di dalam khutbah agar tetap seimbang supaya bukan hanya satu bahagian yang terlalu ditekankan; dan
4)            memastikan pergerakan yang sistematik dari pokok ke pokok.

Seorang pengkhutbah perlu mengetahui ke mana dia pergi dan sasaran apa yang dia hendak capaikan.  Pendapat dari garis besar akan membantu pengkhutbah untuk tetap bergerak ke arah sasaran seperti sebuah anak panah, menuju ke sasarannya.

Garis besar harus bergerak dengan lancar sampai kepada pokok yang telah ditetapkan.  Pengkhutbah harus berusaha supaya ada peralihan yang halus dari satu pokok ke pokok seterusnya.

Sebuah khutbah yang teratur adalah lebih mudah untuk diingati dan khutbah itu juga akan mempunyai nilai yang kekal bila ia dapat diingati dengan lebih lama.  Susunan pemikiran khutbah yang logik dan progresif akan menolong para pendengar untuk mengingatinya.  Ia juga akan menolong mereka untuk mengerti dengan mudah apa yang telah dikatakan.  Penyampaian khutbah yang tidak teratur akan menghasilkan akibat yang serupa di dalam fikiran para pendengar71.

ii)      Proses Penyusunan Khutbah

Penyusunan khutbah yang baik akan menambahkan lagi keberhasilan sesebuah khutbah.  Sebuah khutbah mesti ada tema dan tema itu adalah terdiri daripada perkataan yang pendek sahaja malah mungkin satu patah perkataan sahaja, misalnya “Doa” tetapi daripada kata doa itu kita dapat mengambil beberapa pokok persoalan seperti berikut:  Mengapa Doa tidak mendapat jawapan?  Mengapa kita harus berdoa? Mengapa kita berdoa dalam Roh?  Dan banyak lagi.

a)      Tema & Pokok Persoalan

Apa itu tema?  Tema adalah dasar kebenaran alkitabiah yang kita hendak sajikan kepada Jemaah.  Tema itulah yang menjadi dasar kita untuk membangunkan sebuah pokok persoalan.  Tema seharusnya tidak panjang.  Ia boleh jadi hanya satu patah perkataan sahaja misalnya doa.  Dari kata doa ini, kita boleh bangunkan beberapa pokok persoalan yang kita boleh jelaskan kepada Jemaah di dalam khutbah, seperti berikut:
i)           Mengapakah doa kita tidak mendapat jawapan?
ii)         Mangapakah kita harus berdoa dalam roh?
iii)       Mengapakah doa itu penting dalam kehidupan orang Kristian?

Setiap khutbah harus mempunyai pokok persoalan yang spesifik yang ditarik dari tema itu sendiri, yang akan menentukan sasaran.  Ia juga membantu pengkhutbah di dalam proses pengembangan khutbah serta memudahkan Jemaah untuk mengerti kebenaran yang mahu disampaikan oleh pengkhutbah.  Pokok persoalan seharusnya berbentuk pertanyaan seperti ‘mengapakah bagaimanakah, apakah, bilakah, di manakah, siapakah dan sebagainya.  Khutbah yang tidak mempunyai pokok persoalan yang hendak dijelaskan kepada Jemaah adalah sebuah khutbah yang tidak ada sasaran atau tujuan yang spesifik, sekadar menyajikan sebuah ceramah alkitabiah.

Pokok persoalan itulah yang harus diusahakan oleh pengkhutbah untuk dijelaskan atau dijawab di dalam pembentangan khutbah sehingga pada akhirnya Jemaah mengetahui jawapannya.  Misalnya, kita mengambil contoh di atas, “Mengapa Doa tidak mendapat jawapan?”  Sasaran khutbah adalah memberi jawapan kepada persoalan tentang doa yang tidak mendapat jawapan.  Ada dua cara untuk menjawabnya:  Pertama, ia harus berdasarkan kebenaran yang terdapat di dalam teks yang dipilih (khutbah tekstual) atau mencari ayat-ayat dalam Alkitab yang dapat mendukung fakta mengapa doa tidak mendapat jawapan (Khutbah topikal).

Para pendengar hanya boleh menerima suatu pokok persoalan dan pengkhutbah juga hanya mampu menyampaikan satu pokok persoalan dari tema tersebut pada sesuatu masa.  Oleh itu, setiap khutbah hendaklah memuatkan satu pokok persoalan sahaja sehingga satu tema itu misalnya DOA boleh dijadikan khutbah berseri dengan berbagai-bagai pokok persoalan tentang DOA jika kita berkhutbah secara topikal.

Di dalam pengembangan khutbah, pengkhutbah hendaklah sentiasa merujuk kepada pokok persoalan untuk memastikan dia tidak terkeluar dari pokok persoalan sebab setiap pokok utama harus berperanan untuk mengembangkannya sehingga sampai kepada kemuncak.

b)      Kesatuan (Untuk Khutbah tekstual)

Ayat-ayat Alkitab yang sama maksudnya atau yang berkaitan di antara satu dengan yang lain hendaklah dimasukkan ke dalam satu bahagian walaupun mereka muncul di dalam ayat yang berjauhan di dalam sesuatu perikop.  Inilah yang dimaksudkan kesatuan di dalam pembahagian pokok utama72.  Perhatikan rangka berikut mengenai Keluaran 12:1-13, di mana bahagian keempat dan kelima tidak mengikuti susunan ayat73 :

Tema       :        Anak Domba Allah
Pokok      :        Bagaimanakah sifat-sifat anak domba Paskah yang melambangkan Kristus, Sang Anak Domba Paskah?
i.           Anak domba itu ditentukan oleh Allah, ayat 1-3
ii.         Anak domba itu sempurna, ayat 5
iii.       Anak domba itu disembelih, ayat 6
iv.        Anak domba itu mengerjakan penebusan, ayat 7, 12-13
v.          Anak domba itu menderita, ayat 8-12

c)       Susunan

Tujuan bagi setiap khutbah ialah mengajak para pendengar untuk berpaling kepada Kristus.  Ajakan itu bergantung kepada susunan pokok perbincangan.  Jika susunan pokok-pokok utama di dalam perbincangan itu logik dan merangsang fikiran mahu pun hati para anggota Jemaah, mereka akan digerakkan untuk kembali kepada Kristus.


d)      Pergerakan Khutbah

Pergerakan khutbah dapat dicapai dengan cara mengatur pembahagian khutbah sehingga setiap bahagian akan naik sedikit demi sedikit menuju kepada kemuncaknya74 seperti skala di bawah ini.








e)       Kemuncak

Sebuah khutbah tidak hanya harus bergerak, tetapi juga harus mencapai sasaran yang dimaksudkan oleh pokok persoalan.  Untuk mencapai kemuncaknya, pokok-pokok perbincangan harus diatur/disusun pada skala yang naik ke atas75.  Khutbah yang tidak mempunyai kemuncak kurang berhasil.

Khutbah harus berkembang dengan perlahan-lahan.  Kita tidak patut mempunyai permulaan yang hebat dan kemudian mengempis seperti rajah di bawah ini76.










Pengkhutbah hendaklah mengatur perjalanan khutbahnya agar dia dapat bangun secara rapi dari pokok ke pokok sehingga kepada kemuncak yang harus menjadi matlamat yang ingin dicapaikannya.

Pada waktu kita sampai kepada kemuncak, khutbah kita haruslah diakhiri.  Kita tidak seharusnya sampai kepada kemuncak dengan terlalu cepat kerana jika demikian kita akan mempunyai kesukaran di dalam mengakhirinya.  Khutbah yang paling mengecewa, membosankan dan membingungkan Jemaah adalah khutbah yang grafnya naik dan turun seperti rajah di bawah ini.










              A                                                             B

Rajah di atas menunjukkan seorang pengkhutbah itu belum memahami struktur khutbah yang mudah difahami oleh pendengar.

Tujuan kita sebagai pengkhutbah adalah untuk menggerakkan hati nurani Jemaah sedikit demi sedikit dari tempat mereka berada sebagaimana yang digambarkan oleh rajah di bawah ini77.











Dari (A) ke arah yang lebih tinggi (B) di mana kita percaya Allah menghendaki mereka berada secara rohani.  Oleh itu, kita perlu ketahui ke mana kita pergi iaitu di mana arah B berada.  Kita harus tahu jalannya.  Kita sebagai pengkhutbah sepatutnya sudah menjejakkan kaki ke jalan itu terlebih dahulu (dari A ke B) barulah kita dapat memimpin domba-domba yang lain untuk sampai kepada arah B.

iii)    Proses Pengembangan khutbah

Proses pengembangan khutbah boleh dilakukan dengan langkah-langkah berikut78:

a)      Penjelasan

Penjelasan teks berlaku bukan sahaja untuk khutbah tekstual dan expositori tetapi juga untuk khutbah topikal yang dibangun atas kebenaran ayat-ayat Alkitab lalu setiap bahagian kitab/ayat yang dipakai harus diterangkan dengan jelas dan tepat.  Hal inilah yang menghasilkan khutbah yang alkitabiah dan menjadikan sesebuah khutbah itu berwibawa.  Setiap perkataan dalam ayat firman Allah yang tidak jelas harus dijelaskan.

Dalam kita menjelaskan sebuah ayat, kita tidak boleh memetik ayat itu secara bersendirian lalu menjelaskan ertinya sebab kita perlu merujuk kepada keadaan sebelum ayat itu dan juga selepas ayat itu.  Misalnya, Kisah 10:15 menyentuh tentang makanan haram orang-orang Yahudi di dalam Perjanjian Lama sebagai dikatakan sudah dihalalkan.  Tetapi apabila kita menyelidiki teks ini secara menyeluruh ia tidak berbicara tentang makanan melainkan orang bukan Yahudi sebagai orang yang Allah sudah terima sebagai anak-anak-Nya.  Jadi, penting untuk mengetahui teks keseluruhannya supaya kita tidak tersilap di dalam penjelasan.

b)   Kontekstual

Kotekstual ialah menggunakan bahagian-bahagian dari ayat-ayat yang ada hubungan dengan teks untuk menerangkan teks itu.  Biasanya keterangan-keterangan ini berasal dari ayat-ayat sekitar teks itu, tetapi kadang kala sesuatu ayat atau ayat-ayat dari bahagian lain di dalam kitab yang sama menjadi berguna. Misalnya, Injil Yohanes 3:3 (dilahirkan dari atas) kita boleh jelaskan maksud teks tentang dilahirkan dari atas dengan merujuk kepada Kisah 2:37 di mana para hadirin bertanya kepada rasul-rasul apa yang mereka harus lakukan setelah hati mereka tersentuh selepas mendengar khutbah Petrus yang pertama pada hari Pentakosta.

c)   Sejarah

Latar belakang sejarah dan kebudayaan dari teks dan data geografi yang disebut di dalam bahagian yang bersangkutan dapat juga mempunyai hubungan yang penting di dalam menjelaskan erti teks di dalam lingkungan yang lama.  Peristiwa, sejarah atau keadaan yang berhubungan dengan orang-orang kepada siapa kitab itu ditujukan atau pada penulisnya.  Dalam Kisah 11:1-3, ia berkisar tentang budaya dan amalan orang-orang Yahudi lalu apabila kita menyampaikan khutbah tentang teks ini, kita perlu menyelidiki budaya dan amalan orang-orang Yahudi di dalam Perjanjian Lama supaya kita dapat menyampaikan suatu khutbah yang menyeluruh dan merangkumi semua aspek yang berkenaan tentang sejarah bersunat dalam masyarakat Yahudi..

d)   Petikan Ayat

Petikan ayat-ayat Alkitab dapat membantu dalam pengembangan rangka khutbah.  Walau bagaimanapun, pemetikan ayat-ayat Alkitab lebih sesuai bagi khutbah topikal sebab tema dalam bentuk khutbah ini harus disokong oleh ayat-ayat Alkitab yang sesuai.  Bagi khutbah tekstual dan ekspositori, pemetikan ayat-ayat lain selain apa yang ada dalam teks pilihan tidak begitu diperlukan.  Jika seorang pengkhutbah itu asyik memetik ayat-ayat Alkitab sahaja, para pendengar akan menjadi keliru dan bosan apatah lagi bila ayat petikan itu tidak sesuai dengan kebenaran yang sedang diperkatakannya.  Akhirnya, pengkhutbah tidak ada pendapat peribadi selain ayat-ayat Alkitab sahaja yang disampaikannya.

Perlu diingat bahawa berkhutbah bukan sekadar membaca ayat-ayat Alkitab tetapi menerang dan menerapkan kebenaran ayat Alkitab kepada para pendengar secara sistematik dan teratur.

e)   Ilustrasi

Ilustrasi seharusnya membawa cahaya segar dan cemerlang ke dalam khutbah.  Ilustrasi membuat kebenaran menjadi lebih jelas bagi fikiran dan memungkinkan para pendengar membayangkan dengan jelas sesuatu yang mungkin sukar dimengerti tanpa ada ilustrasi.  Ilustrasi bukanlah isi khutbah tetapi ia menggambarkan amanat khutbah.  Pengkhutbah harus hati-hati jangan sampai ilustrasi itu menjadi pokok utama khutbah.  Jemaah sering mengingati ilustrasi yang baik tapi jika mereka hanya mengingat itu sahaja dan bukan kebenaran yang dimaksudkan oleh ilustrasi itu, maka khutbah itu tidak mencapai sasarannya.  Ilustrasi adalah “jendela” dari khutbah79.

v)   Penerapan Dalam Khutbah

Penerapan dapat dibuat di setiap pokok utama atau secara keseluruhan pada akhir khutbah.  Bagaimanapun adalah lebih baik untuk membuat penerapan selepas setiap pokok utama sudah dijelaskan sebab kebenaran yang hendak diterapkan kepada para anggota Jemaah baru sahaja didengar.  Ini juga akan memudahkan mereka menanggap maksud firman Allah dan kadang-kadang mengejutkan mereka dari lamunan apabila keadaan hidup peribadi mereka tersentuh di dalam penerapan kebenaran firman Allah80.  Waktu kita berkhutbah biarlah kita peka terhadap suara Roh Kudus.  Dia mungkin ingin mengatakan sesuatu yang kita tidak ada persiapkan terlebih dahulu.

Penerapan boleh dilakukan dengan menggunakan beberapa ungkapan yang berbentuk pertanyaan dan pertanyaan inilah dasar kita untuk menerapkan firman Allah di dalam kehidupan para anggota Jemaah81.  Misalnya:-

a)       Apakah yang dimaksudkan oleh Alkitab tentang hal ini di dalam hidup kita?
b)      Mengapa Alkitab mengatakan sedemikian?
c)       Bagaimanakah kita dapat melakukan hal itu di dalam hidup kita?
d)      Kemudian apakah yang akan terjadi kalau kita sudah/tidak melakukan hal itu?

v)   Penutup Khutbah

Bahagian penutup adalah satu kesimpulan, satu penggulungan secara ringkas tentang apa yang kita telah katakan.  Kita harus mengelakkan dari mengulang fikiran-fikiran atau bahagian-bahagian dari khutbah kita tetapi buatlah satu ringkasan yang padat dengan beberapa kata yang terpilih dengan baik untuk menggerakkan jiwa para pendengar dengan ilustrasi yang sesuai kerana penutup merupakan kemuncak kepada khutbah sama ada ia mampu menggerakkan hati para pendengar atau di sebaliknya82.

Kita harus berkhutbah agar para anggota Jemaah dapat mengambil suatu keputusan, dan bahagian penutup merupakan kesempatan kita yang terakhir untuk merayu kepada para anggota Jemaah untuk mengubah gaya hidup, fikiran, tabiat dan sebagainya yang tidak sesuai dengan kebenaran firman Tuhan.  Bahagian penutup harus mengena ke dalam hati para pendengar.  Kita perlu mengakhiri sebuah khutbah dengan satu cabaran kepada para anggota Jemaah.  Khutbah tidak boleh hanya sampai pada tingkat intelektual sahaja melainkan ia harus menggerakkan hati nurani mereka.  Harus ada suatu ajakan untuk membawa mereka masuk ke dalam kebenaran.  Bahagian penutup yang baik harus disudahi dengan suatu penekanan tetapi bukan sekadar penekanan suara83.  Apa yang lebih penting di dalam penekanan ialah penekanan moral dan nilai rohani dengan kesungguhan yang murni dan semangat ilahi di dalam apa yang kita katakan.  Tetapi penutup bererti menutup atau mengakhiri, jadi janganlah memulakan penutup 15 minit sebelum mengakhiri khutbah84.

vi)  Kemuncak Khutbah

Khutbah tidak seharusnya berakhir dengan bahagian penutup kerana kita perlu mengizinkan Roh Allah untuk bergerak dengan kuasa yang meyakinkan.  Kita boleh mengiringi bahagian penutup dengan sebuah pujian yang mempunyai tujuan yang sama dengan tema khutbah yang telah disampaikan.  Jika pujian itu tidak ada hubungan dengan isi khutbah, tujuan yang sesungguhnya dari bahagian kemuncak itu akan hilang.  Misalnya, jika kita telah berbicara tentang perlunya para anggota Jemaah mempunyai kehidupan yang kudus, kita perlu menaikkan pujian yang ada kena mengena dengan kekudusan.  Sementara pujian dinaikkan, kita mengajak mereka dengan85:-

a)       Memberi cabaran kepada mereka untuk menyelesaikan persoalan di dalam hidup mereka.  Biarlah ada waktu teduh pada saat ini dilakukan.

b)      Beri undangan kepada para anggota Jemaah agar maju ke hadapan untuk menyatakan sambutan mereka terhadap apa yang Allah telah katakan kepada mereka melalui khutbah atau untuk didoakan atau mintalah mereka untuk mengangkat tangan untuk menyatakan sambutan sementara para anggota Jemaah yang lain menundukkan kepala; atau undang mereka untuk berbicara dengan kita secara peribadi selepas kebaktian.

c)       Selepas mendapat sambutan daripada para anggota Jemaah, bawalah mereka di dalam doa untuk mengucap syukur kepada Allah atas pekerjaan-Nya di dalam kehidupan mereka.

Undangan kepada para anggota Jemaah untuk menyatakan sambutan mereka terhadap khutbah merupakan KEMUNCAK dan PENGAKHIR sebuah khutbah.  Sebuah khutbah yang tidak diakhiri dengan suatu cabaran/undangan kepada para pendengar untuk menyatakan keputusan atau pun sambutan mereka terhadap firman Allah adalah sebuah khutbah yang tergantung/tidak pandai mendarat.

Sebuah khutbah yang tidak ada kemuncak boleh diibaratkan seperti seekor ayam betina yang sedang mengeram dengan telur-telur yang buruk.  Bila sudah puas mengeram, ia turun sahaja dari sarangnya tanpa menghasilkan seekor anak ayam pun.







vii)   Khutbah Yang Diurapi

Sebuah khutbah yang baik dan diurapi boleh bergerak seperti raja di bawah ini.
















Rajah di atas menunjukkan pergerakan khutbah yang diurapi oleh Roh Kudus86.


Peranan seorang pengkhutbah ialah menaburkan firman Allah yang hidup.  Sama ada Jemaah menerima kebenaran firman Allah itu atau tidak, itu bukan tugas seorang pengkhutbah.  Sebagaimana perumpamaan tentang benih yang tumbuh (Mrk 4:26-29), tanah itu sendiri yang menumbuhkannya.  Penerapan firman Allah di dalam kehidupan Jemaah adalah pekerjaan Roh Kudus.  Peranan pengkhutbah adalah untuk menimbulkan kebarangkalian sehingga mereka tidak tenteram selagi mereka belum menemukan kebenaran itu (Kis 2:37).  Gerakan selanjutnya adalah daripada Roh Kudus sebab itulah peranan Roh Kudus di dalam pelayanan pengajaran firman Allah adalah sangat-sangat penting dan tidak dapat diabaikan atau dikompromikan dengan apa jua alasan.  Pelayanan Roh Kudus perlu diberi tempat yang sewajarnya di dalam pelayanan sekiranya kita mahu membangunkan sebuah Jemaah yang berserah sepenuhnya kepada pimpinan Roh Kudus dan memiliki iman yang hidup.

Bab 3 berusaha untuk mengetengahkan beberapa faktor tentang peranan Roh Kudus di dalam Pelayanan Firman Allah.  Ini hanyalah sekadar renungan sepintas lalu sahaja.  Jika kita serius untuk mendalamkan pengertian dan pengetahuan tentang peranan Roh Kudus, banyak buku yang ditulis oleh hamba-hamba Tuhan yang mempunyai pelayanan yang berhasil yang dapat memberi penjelasan yang lebih terperinci lagi tentang peranan Roh Kudus di dalam kehidupan seorang pelayan firman Allah.  Buku-buku di antaranya seperti Selamat Pagi, Roh Kudus dan Urapan oleh Benny Hinn, And Signs Shall Follow oleh Gary D. Kinnaman, Come, Holy Sipirt oleh David Pytches, When the Spirit Comes with Power oleh John White, Nine O’Clock in the Morning oleh Dennis Bernett dan banyak lagi.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa ada juga buku-buku yang terdapat di pasaran yang menentang pelayanan Roh Kudus seperti Kurnia Roh Kudus.  Kita perlu bijak untuk merujuk kepada Alkitab jangan mengikuti sahaja apa yang dikatakan oleh seseorang.  Ada juga orang Kristian bahkan yang bergelar Pendeta pun yang memang menentang pelayanan Roh Kudus lalu hanya minat membaca buku-buku yang serupa dengan pendapatnya walaupun tidak dapat disokong oleh kebenaran Alkitab kecuali ayat-ayat Alkitab itu diputarbelit atau diambil sekerat sahaja tanpa mempedulikan ayat-ayat yang lain.  Ini adalah penafsiran Alkitab yang sangat merbahaya.










56 Gelaran seorang wanita dalam bahasa Rungus yang menjadi pengantara manusia dan Syaitan.
57 Penulis sendiri pernah menyaksikan seorang bobolizan yang hampir-hampir jatuh dari atas bumbung rumah kerana mungkin ada kesilapan di dalam menyusun kata-kata yang disebut dalam bahasa Rungus ‘rinait’.
58 Brian Bailey. Notes on Teaching on Preaching, Tauranga: Faith Bible College, New Zealand.
59 Ibid
60 Volkhard Scheunemann, Apa kata Alkitab tentang PENATALAYAN, Jakarta: Yaysan Persekutuan Perkabaran Injil Indonesia, hlm 69-70.
61 Dr David Burfield, Catatan Kuliah: Penyembahan Kristian, Semester 1, 2000.
62 Rita Bernett, How to Pray For Inner Healing, Eastbourne : Kingsway Publications Ltd, hlm 6.
65 T. Norton Strerret, How to Understand Your Bible, Bombay: Joyti Pocketbook, hlm 17-20.
66 W. Ernst Pettry, Berkhotbah & Mengajar, Malang: Gandum Mas, hlm 33.
67 W. Ernst Pettry, Berkhotbah & Mengajar, Malang: Gandum Mas, hlm 33
68 Brian Bailey, Notes on Teaching on Preaching, Tauranga: Faith Bible College, New Zealand.
69 Brian Bailey, Notes on Teaching on Preaching, Tauranga: Faith Bible College, New Zealand.
70 Rev Thomas Tsen, Catatan Kuliah, Homiletik 2, 2000.
71 Brian Bailey, Notes on Teaching on Preaching, Tauranga: Faith Bible College, New Zealand
72 Brian Bailey, Notes on Teaching on Preaching, Tauranga: Faith Bible College, New Zealand
73 James Baraga, Cara Mempersiapkan Khotbah, Malang: Gandum Mas, 1981 hlm 150-157.
74 Brian Bailey, Notes on Teaching on Preaching, Tauranga: Faith Bible College, New Zealand
75 Ibid
76 Ibid
77 Brian Bailey, Notes on Teaching on Preaching, Tauranga: Faith Bible College, New Zealand
78 James Baraga, Cara Mempersiapkan Khotbah, Malang: Gandum Mas, 1981 hlm 150-157
79 Denis Lane, Preach the Word, Evangelical Press, hlm 92-94.
80 Brian Bailey, Notes on Teaching on Preaching, Tauranga: Faith Bible College, New Zealand
81 Ibid
82 Brian Bailey, Notes on Teaching on Preaching, Tauranga: Faith Bible College, New Zealand
83 Ibid
84 Ibid
85 Ibid
86 Brian Bailey, Notes on Teaching on Preaching, Tauranga: Faith Bible College, New Zealand

1 comment:

  1. Minta maaf, rajah tidak menjelma dalam artikel di atas.

    ReplyDelete