Thursday 14 June 2012

Renungan Penting Bagi Seorang Pelayan Firman Allah



Markus 4:1-9 menceritakan tentang seorang penabur benih di mana ada benih yang ditaburnya jatuh di atas empat jenis tanah berikut:

i)       di jalan (tanahnya keras sekali)
ii)      di tempat yang berbatu (air sedikit sahaja)
iii)     di tempat yang bersemak duri (membantutkan pertumbuhan)
iv)     di tanah yang subur (tumbuh dan berbuah)

Apakah para pelayan firman Allah pernah memikirkan perikop ini dengan cara melihat dari sudut penabur bukan dari sudut empat jenis tanah di mana benih itu jatuh?  Dalam perikop itu, penabur itu adalah Tuhan Yesus sendiri dan benih yang ditabur itu adalah firman Allah.  Kita yakin dan pasti bahawa jika Tuhan Yesus yang menabur benih firman Allah sudah tentu Ia tidak akan menabur benih firman Allah yang mati. 

Ketika Yesus memberitakan firman Allah, Ia memberitakan di merata tempat lalu kita boleh simpulkan bahawa orang-orang yang mendengar Berita itu boleh dikategorikan kepada empat kelompok dan hanya satu kelompok atau 25% sahaja yang mudah menerima dan melakukan firman Allah dalam hidup mereka sehingga firman itu tumbuh dan berbuah banyak.  Mana kala 75% lagi adalah sukar untuk menerimanya.

Pada masa kini persoalannya bukan lagi tanah tetapi seorang penabur benih itu.  Mereka yang sanggup datang ke gereja untuk ikut serta dalam ibadah kita tidak lagi boleh kategorikan mereka dengan empat jenis tanah itu.  Mereka semuanya adalah dari kelompok 25% iaitu tanah yang subur.  Namun persoalan yang sering kita dengar ialah mengapa mereka tidak pernah bertumbuh dan berbuah?  Seorang petani pastinya tahu bahawa betapa pun suburnya ladang yang diusahakannya jika benih yang ia tabur adalah benih yang mati, ia tidak akan pernah tumbuh.  Dalam pada itu, kita boleh simpulkan bahawa masalah utama dalam gereja sekarang adalah penabur itu yang menabur benih yang mati.  Jadi, para pengkhutbah perlu memastikan bahawa mereka menabur benih yang hidup agar ia tumbuh dan berbuah.

Panggilan Allah dalam hidup kita sebagai pelayan firman-Nya sama ada kita sebagai pelayan penuh masa atau pun hanyalah sebagai pengkhutbah sahaja adalah suatu panggilan daripada Allah yang sangat mulia dan harus dijaga kemuliaannya.  Untuk itu, perkara berikut ini perlu direnung dengan mendalam walau pun pada dasarnya ia adalah suatu hiburan sahaja tetapi pelajaran yang tersirat di dalamnya sangat penting untuk dijadikan pedoman bagi setiap pelayan firman Allah.

1.       Lagu Kanak-Kanak “Bangau Oh Bangau”

Saya percaya ramai yang pernah mendengar bahkan tahu menyanyikan lagu kanak-kanak ‘Bangau oh Bangau’ ini.  Ini memang lagu kanak-kanak sekular tetapi pelajaran yang tersirat di dalamnya sangat baik sebagai panduan bagi seorang pelayan firman Allah di dalam ia menunaikan tanggungjawabnya.  Pelayan firman Allah mempunyai tanggungjawab yang sangat berat untuk memberi santapan rohani kepada Jemaah dan sekiranya para anggota Jemaah memiliki kehidupan rohani yang kering, sudah pasti puncanya adalah pelayan firman Allah itu sama seperti si Bangau yang kurus dan penyebabnya adalah si ular.  Jadi, seorang pelayan firman Allah perlu memastikan bahawa ia tidak menjadi seperti si ular.  Bagi si ular, katak memang makanannya lalu itu wajar.  Untuk seorang pelayan firman Allah, pemberitaan firman Allah yang menggemukkan anggota Jemaah secara rohani juga adalah wajar dan menjadi tanggungjawabnya.  Jadi, jika kehidupan rohani para anggota Jemaah adalah kering-kering belaka, sudah pasti yang menjadi penyebabnya adalah pelayan firman Allah.

Tidak dapat ditegaskan dengan lebih tegas lagi bahawa tanggungjawab seorang pengkhutbah adalah sangat berat dan ia tidak boleh dilakukan sambil lewa sahaja sebab itu Paulus berkata jangan sampai setelah dia bertungkus lumus memberitakan firman Allah, dia sendiri pula yang ditolak (1 Kor 9:27).

Cerita berikut ini adalah situasi yang sangat ditakuti oleh rasul Paulus.  Kita yakin bahawa setiap pelayan firman Allah apa lagi mereka yang melayani sepenuh masa dan menerima upah dari tugasnya itu, harus memikir dengan masak-masak supaya tidak terjadi kepadanya apa yang ditakuti oleh rasul Paulus.
  
2.       Padri dan Pemandu Bas

Ini adalah cerita gurauan sahaja untuk mengolok-olokkan seorang padri namun pelajaran yang tersirat di dalamnya amat penting untuk direnung oleh setiap hamba Tuhan yang bertugas sebagai penyampai firman Allah.  Ceritanya adalah seperti berikut:

Pada suatu hari si padri dan si pemandu bas itu dikatakan mati.  Lalu mereka dibawa berjumpa dengan rasul Petrus sebagai penjaga pintu syurga.  Si padri yang setiap kebaktian Hari Minggu itu membebel di hadapan Jemaah tidak dibenarkan masuk ke dalam syurga melainkan rasul Petrus mengarah para malaikat untuk membawanya masuk ke dalam neraka sementara si pemandu bas pula dibenarkan masuk ke dalam syurga.  Si padri pastinya tidak puas hati lalu ia membantah dengan sekeras-kerasnya.  Menurutnya, dia telah menjalankan tugasnya yang sangat mulia itu dengan tekun dan jujur sebagai pelayan firman Allah berbanding dengan si pemandu bas yang hanya membawa penumpang sahaja.  Lalu rasul Petrus memberitahu dia bahawa setiap kali dia berkhutbah semua anggota Jemaah akan tertidur sementara si pemandu bas pula setiap kali dia memandu bas, semua penumpang akan mula berdoa.

Semua anggota Jemaah tertidur ketika si padri menyampaikan firman Allah kerana khutbahnya membosankan, tidak ada pelajaran yang dapat dipelajari oleh anggota Jemaah melalui khutbah-nya, tidak pernah memperingatkan anggota Jemaah tentang kebenaran firman Allah yang perlu dilakukan di dalam hidup mereka dan sebagainya.  Sebenarnya si padri itu tidak pernah berkhutbah melainkan hanya berceramah tentang kebenaran Alkitab.  Sementara itu, si pemandu bas pula, setiap kali ia membawa bas semua penumpangnya akan mula berdoa sebab mereka resah tentang cara pemanduannya yang kasar dan melulu.  Semua penumpang berdoa agar tidak ada apa-apa yang berlaku terhadap bas tersebut.  Para penumpang lebih dekat kepada Tuhan waktu berada di dalam bas tersebut.  Secara tidak langsung pemandu bas tersebut memperingatkan para penumpang bahawa hidup adalah terlalu rapuh dan bila-bila masa sahaja nyawa mereka akan melayang bila ada sedikit kesilapan.  Mereka menyedari itu lalu mereka memohon pertolongan Allah dan menyerahkan hidup mereka di tangan Allah.

RUMUSAN

Kita yakin bahawa tidak ada seorang pun yang berperanan sebagai pelayan firman Allah yang ingin menerima nasib yang sama seperti padri tersebut.  Tulisan ini bertujuan untuk membantu para pelayan firman Allah agar mereka menyedari bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai pelayan firman Allah itu adalah sangat berat.  Melalui tulisan ini adalah diharapkan setiap pelayan firman Allah akan berusaha agar:-

i)       memiliki kesaksian hidup yang berkenan di hadapan Allah
ii)      dapat menunaikan tugas pelayanannya sesuai dengan panggilannya
iii)     dapat menyedia dan menyampaikan khutbah yang memenuhi persyaratan sebagai khutbah sebagaimana yang disentuh di dalam tulisan ini dan iman anggota akan bertumbuh
iv)     dapat melayani dalam urapan Roh Kudus

Seseorang yang belajar di sebuah Seminar selama 4 tahun apabila keluar untuk melayani pengetahuan yang sangat diperlukan ialah kemahiran menyampaikan firman Allah.  Namun diakui bahawa kebanyakan seminari ilmu berkhutbah diajar lebih kepada akademik.  Inilah yang menyebabkan graduan dari sebuah seminari masih lagi tercari-cari prinsip-prinsip yang sesuai untuk mempersiapkan sebuah khutbah.  Diharapkan buku ini sedikit sebanyak dapat membantu ke arah penyediaan dan penyampaian sebuah khutbah yang mampu membangunkan iman anggota Jemaah.


TUHAN MEMBERKATI!
A  M  I  N

No comments:

Post a Comment